Tiada istilah `U-Turn’ dalam moratorium

KENYATAAN Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 April, hanya menyatakan bahawa BNM telah memformalkan perjanjian syarat pembayaran yang disemak semula dengan peminjam atau pelanggan dengan pinjaman sewa beli (HP) dan pembiayaan Islam dengan kadar tetap untuk memberi kesan kepada moratorium 6 bulan terhadap pembayaran pinjaman atau pembiayaan.

Ia hanyalah bagi memenuhi syarat prosedur yang tertakluk di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan Syariah untuk setiap perubahan yang dibuat pada syarat perjanjian ini, termasuk perubahan pada jadual pembayaran atau jumlah bayaran bulanan akibat moratorium ini.

Advertisement

Secara dasarnya ia tidak mengubah apa-apa kenyataan yang dibuat oleh Kerajaan atau BNM mengenai inisiatif moritorium dalam Prihatin Nasional yang diumumkan oleh kerajaan pada 25 Mac yang lalu.

Sehubungan dengan perkara di atas, ramai yang keliru dan cuba dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu yang sepatutnya sudah memahami penjelasan yang dibuat BNM pada bulan Mac lagi bahawa moritorium ini hanyalah penangguhan bayaran bulanan bukan penangguhan faedah.

Rakyat perlu faham bahawa pengumuman BNM semalam adalah untuk memaklumkan bahawa dalam urusan dan hal Pembiayaan Islam dan Sewa beli Kenderaan ini mereka terikat dengan perjanjian sedia ada dan untuk melaksanakan moritorium ini maka pihak bank perlu membuat penambahan perjanjian bagi melindungi hak Bank dan hak Pelanggan.

Dalam kenyataan BNM 30 April lalu jelas meminta institusi perbankan untuk mengambil langkah yang tepat untuk memastikan bahawa peminjam atau pelanggan diberi maklumat dan informasi yang jelas mengenai proses dan perubahan syarat perjanjian mereka, serta cara yang mudah untuk penyempurnaan perjanjian sebelum ini.

Ini sangat jelas tiada pengumuman “U-Turn” dibuat oleh mana-mana pihak dan ia hanyalah salah faham penyampaian berita oleh sumber yang tidak bertanggungjawab dan sekali lagi saya menyeru agar masyarakat untuk rajin membaca kenyataan penuh yang dibuat oleh kerajaan dari hanya membaca tajuk sahaja.

SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN
Pegawai Bank Swasta- HARAKAHDAILY 1/5/2020