PKPB: Pintu masuk negara masih tidak dibuka

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menutup pintu masuk negara kepada warga luar yang ingin masuk ke negara ini bagi mencegah penularan kes import Covid-19, walaupun kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang berlaku di Hokkaido, Jepun adalah berbeza apabila negara itu membuka kemasukan warga asing ke negara itu sebaik sahaja perintah berkurung ditamatkan menyebabkan kes jangkitan Covid-19 kembali mendadak.

“Di Jepun mereka membuka negara dengan membenarkan kemasukan warga luar ke negara itu sewaktu musim bunga, menyebabkan berlakunya kes import.

Advertisement

“Berbeza dengan Malaysia yang masih menutup pintu masuk negara kepada warga asing. Sampai sekarang, lapangan terbang tidak menerima warga asing dan warga kita yang balik dari luar negara akan dikuarantin wajib bagi menyekat kes import daripada berlaku,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, pendekatan kerajaan sekarang adalah memberi fokus kepada kawasan secara bersasar dengan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya kawasan tersebut ada kes positif Covid-19.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya, berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei.

Perlaksanaan PKPB ini sedikit longgar dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semula dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.- HARAKAHDAILY 2/5/2020