Tidak perlu tergesa-gesa pulang sebelum 4 Mei

KUALA LUMPUR: Mereka yang terkandas di kampung dan ingin pulang ke tempat kerja dijangka dibenarkan pulang mulai 7 sehingga 10 Mei depan.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jadual perjalanan akan diumumkan oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat ini.

“PDRM akan menyediakan jadual bagi mereka yang akan pulang daripada kampung ke bandar untuk bekerja dan PDRM akan membuat kenyataan media untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci,” kata Ismail Sabri.

Beliau juga mengingatkan kepada kakitangan awam tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang pada hari ini atau esok walaupun pejabat akan dibuka pada hari Isnin ini.

“Ketua Setiausaha Negara telah bersetuju bahawa mereka (kakitangan awam) tidak perlu bekerja pada hari Isnin (ini). Mereka boleh balik ke tepat kerja mengikut jadual yang akan ditetapkan oleh PDRM,” katanya.

Beliau juga menyeru kerjasama daripada majikan syarikat swasta supaya memberikan ruang kepada pekerja mereka untuk memulakan kerja berdasarkan kepulangan mereka mengikut jadual yang disediakan oleh PDRM.

“Saya harap tidak ada pekerja (syarikat swasta) yang akan dikenakan tindakan oleh majikan swasta kerana ini bukan pilihan pekerja mereka tetapi ini berdasarkan jadual PDRM,” terang Ismail Sabri.

Dalam perkembangan lain, beliau melaporkan semalam PDRM dan ATM telah mengadakan 820 sekatan jalan raya di seluruh negara melibatkan 486,307 pemeriksaan ke atas kenderaan

Manakala sebanyak 35,834 pemeriksaan mengejut di premis telah diadakan membabitkan 7,065 premis.

Sebanyak 410 individu telah ditangkap berbanding dengan 683 individu sebelum ini kerana ingkar PKP yang merangkumi 372 individu yang direman dan 38 individu dijamin polis. – HARAKAHDAILY 2/5/2020