Tinjau semula SOP hantar pulang pelajar Sabah

DEWAN Pemuda PAS Sabah menyarankan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memantau secara jelas Prosedur Operasi Standard (SOP) penghantaran dan ketibaan semua pelajar Sabah yang balik dari IPT Semenanjung Malaysia dan Sarawak sehingga mereka yang balik selamat tiba di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Ini susulan kegelisahan daripada pelajar dan pihak waris yang mengadu mengenai SOP yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebaik sahaja mereka tiba di negeri ini agak mengelirukan terutama kepada pelajar dan pihak waris.

Advertisement

Sekalipun Ketua Menteri Sabah telah mengeluarkan kenyataan media pada hari ini berkaitan isu ini, pihak KPT perlu memantau secara dekat agar pelaksanaan SOP tersebut berjalan dengan rapi dan tidak mempunyai kelemahan yang jelas pada masa akan datang.

Selain itu, keselesaan penempatan pusat kuarantin kepada pelajar yang bergejala juga perlu dipantau agar kebajikan mereka dapat ditingkatkan oleh pihak yang terlibat secara langsung dalam urusan pengendalian pelajar ini agar tidak wujud dakwaan ‘kluster kayangan’.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melalui Unit Pembangunan Mahasiswa juga akan memantau perkembangan semasa agar pelajar Sabah yang balik tidak menghadapi masalah serius dan tiba di kampung halaman masing-masing dengan lebih terjamin.

Sekian, terima kasih

“Sabah Sejahtera”

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah – HARAKAHDAILY 2/5/2020