3 Mei: Media, bebas dan kebebasan sebenar?

SENSASI atau mencari hits dalam satu-satu laporan kini menjadi amalan serasi pengamal media khasnya media online. Jika tidak sensasi, maka ia akan kurang menarik minat pembaca atau penggemar maklumat hujung jari.

Advertisement

Maka, sudah pastinya trend yang terlihat hari ini adalah kecenderungan sosial lebih diutamakan bagi mencari pengaruh meningkatkan hits dan nama sesebuah syarikat yang menjalankan perniagaan media.

Ia terkait rapat dengan sumber pendapatan sama ada melalui iklan (berikutan hiits tinggi maka ramai pengunjung), juga pendapatan melalui ‘fund’ di mana ada penaja yang berkepentingan tertentu menaja operasi media, dan juga pendapatan melalui jualan ‘subscribe’ atau langganan berbayar media tersebut.

Dalam ketiga-tiga situasi di atas, maka penyedia perkhidmatan media harus sekali melihat kepentingan tersebut, dalam mendepani arus massa menjiwai presentation yang hendak diwajahkan.

Di manakah kebebasan media yang disebutkan? Apakah kita boleh menerima kebebasan media hingga melanggar norma hidup manusia mahupun peradaban bangsa atau jauh sekali menuruti pandangan Islam dalam menyampaikan sesuatu sumber?

Ia mungkin selari dengan tuntutan warga media selama ini terhadap makna kebebasan media yang sebenar walaupun di negara ini masih ada akta yang mengikat mengenai media dan undang-undang yang terkait andai sesuatu pelanggaran berlaku.

Aplikasi terkini media sosial membuka ruang dan peluang kepada masyarakat mewujudkan hubungan secara maya tanpa perlu menghadirkan diri dalam ruang lingkup persekitaran sosial yang nyata.

Hari ini masyarakat sudah kurang minat membaca bahan yang larasnya terlalu mendatar atau bahasa mudahnya tidak sensasi. Ia ditambah beratkan lagi dengan peranan media massa membentuk pelaporan yang bersifat manipulatif dan berkepentingan mewujudkan agenda pihak berkepentingan.

Akibatnya, ia telah menjadi penyumbang kepada pandangan negatif sesetengah pihak yang menganggap mereka bebas untuk melakukan apa sahaja atau menyatakan apa sahaja yang diingini tanpa memperdulikan peradaban sosial dalam Islam.

Masyarakat netizen yang wujud hari ini yang dibentuk pemikirannya melalui propaganda ruang maya rencam sifatnya. Akhirnya adab bersosial dalam kalangan masyarakat kini menjadi runcing akibat persekitaran sosial yang terlalu terbuka dan propaganda media yang bersifat luar kawalan.

Perkembangan teknologi komunikasi telah memungkinkan aktiviti sosial sekelompok masyarakat tertentu berlaku di luar peradaban Islam.

Persekitaran sosial dengan ketertiban peradaban Islam menjadi aspek utama perbincangan dalam penulisan ini yang mana melihat jaringan sosial sebagai pelantar komunikasi secara maya dengan peradaban sosial dalam Islam.

Namun dalam realiti sebenar hari ini, masyarakat lebih cenderung kepada pemikiran negatif yang dibentuk dalam persekitaran media yang mengutamakan sensasi hasil manipulasi.

Secara praktis dan berdasar pandangan Goffman (1959), komunikator akan menonjolkan diri sebagai manusia yang ideal kepada penonton di mana mereka memberikan penonton gambaran yang selaras dengan matlamat komunikator.

Maka ia mencetus kebarangkalian sama ada komunikator akan menjalankan agenda sendiri, mahupun pihak yang diwakilinya atau pihak yang menyandar kepentingan ke atasnya, atau media tersedia menjadi wewenang dalam mengimbangkan antara perkara yang disebutkan di atas.

Alat pihak tertentu

Media tidak terkecuali menjadi alat politik bagi pihak tertentu, sama ada ia menjadi milikan penuh sesebuah organisasi parti, atau menjaga kepentingan sesebuah parti, atau cenderung kepada parti-parti, tidak kurang yang bermain silap mata demi survival atau kelangsungan perniagaan media yang mana hari ini berdepan persaingan di medan tempur maya.

Persaingan kejam dan pantas media maya ini menyebabkan media konvensional yang bercetak menjadi semakin pupus walaupun ada yang bertahan dengan bilangan jualan terhad.

Kecaknaan sesetengah media kepada isu rakyat yang benar-benar mendasari wajah sebenar kepentingan rakyat mula pudar kerana adanya ‘kepentingan’ politikus yang terselit di sebalik sesuatu laporan, malah terkadang ia sengaja diagendakan untuk memberi kesan positif atau negatif pada sesuatu kelompok.

Apapun tugas mendapatkan bahan atau sumber tepat adalah tugas seorang wartawan atau pelapor berita.

Mutakhir ini ramai dalam kalangan penggiat media sama ada wartawan akhbar online, bercetak, broadcast dan sebagainya dilihat berlumba mendapatkan laporan terkini dan sensasi, namun aspek utama dalam mengejar laporan ini haruslah berdasarkan sumber sahih dan tidak dimanipulasi corak persembahannya.

Tidak dinafikan wartawan sememangnya dilatih mencari scene ‘manusia gigit anjing (yang lebih mengejutkan sifatnya) berbanding anjing gigit manusia’ (yang biasa sahaja sifatnya). Ini nadi dan deria yang ada pada kelompok wartawan yang aktif, bukan pasif bersifat typist.

Banyak juga dalam keadaan di mana wartawan melaporkan perkara sebenar yang terjadi di lapangan sama ada sidang media atau program tertentu, namun bidikan ‘editing’ oleh Editor yang tentunya menjalankan agenda pihak berkepentingan menjadikan news atau berita yang dihantar wartawan bernada lain berbanding perkara asas yang disebutkan oleh sumber utama.

Manipulasi, spin atau ubahsuai ‘angle’ dalam merancakkan hits dalam kalangan pembaca juga mencetak emosi melalui propaganda yang diagendakan acap kali mencetus suasana tidak senang dalam kalangan masyarakat hingga tercetusnya persepsi buruk ke atas sesuatu organisasi mahupun individu.

Sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, kempen pilihan raya pada ketika itu banyak dibayangi laporan sensasi beragenda yang banyak dimanipulasi dan kemudiannya disambut oleh netizen atau sekumpulan netizen yang ditaja pihak tertentu hingga mewujudkan suasana emosi dalam kalangan pengundi muda khasnya hingga diterjemahkan kepada peti undi.

Laporan yang diagendakan bersasar kepada kelompok establishment atau kerajaan menjadikan sisi pandang rakyat kepada kerajaan semakin berat dan buruk, walaupun tidak dinafikan banyak kebobrokan dan kelemahan yang berlaku.

Dalam masa yang sama pihak berlawanan menggunakan peluang kelemahan Kerajaan BN ketika itu untuk memberi taburan janji bulan bintang kepada rakyat khasnya orang muda hingga yang tidak rasional janjinya digambarkan rasional, malah dipercayai oleh pengundi yang mungkin mengundi buat kali pertama.

Peranan Red Bean Army, peranan cybertrooper yang menjadi pemain utama selain media online yang mewajahkan suara PH ketika itu menjadikan gabungan ini amat dipercayai rakyat untuk diangkat sebagai kerajaan pada Mei 2018, memecah rekod BN berkuasa selama 60 tahun.

Namun wajah yang cuba digambarkan terkadang ‘over’ sehinggalah pasca PRU14, banyak laporan sebaliknya terdedah, malah kelemahan kerajaan yang menggantikan kerajaan lama makin terserlah apabila netizen yang dicorakkan oleh medium asal media sudah mula berubah wajah dan mempertikai banyak janji manifesto kerajaan ketika itu yang gagal ditunaikan.

PH hanya bertahan 22 bulan selepas dalaman mereka berkecamuk angkara perselisihan mengenai perebutan jawatan Perdana Menteri, juga idealisme yang jelas ketara antara kelompok tertentu khususnya antara DAP-PAN-PKR berlawanan dengan BERSATU bersama team Azmin Ali (PKR) menjurus kepada perpecahan kerana banyak pelaksanaan dasar kerajaan yang diputuskan akhirnya bertegangan antara satu sama lain dari sudut pandangan malah membawa kepada acap kali u-turn kepada keputusan itu.

Dalam pada rakyat khasnya orang Melayu marah dengan kerajaan, tidak kurang sentimen isu perpaduan menjadi isu utama yang amat panas, malah media sekali lagi berperanan mencetuskan suasana ini untuk membaiki keadaan selepas PH gagal meredakan melalui jentera media yang mereka miliki termasuk media kerajaan dan agensi berita swasta.

Hingga saat ini pun, masih ada media yang membawa agenda PH secara terbuka mahupun tersirat dalam pelaporan mereka yang disambung rantaian agendanya oleh netizen yang kembali aktif berbalah dalam lapangan maya.

Netizen vs media

Lihat sahaja acuan komen-komen yang dilontarkan ada kala hingga tersasar jauh dari bahasa orang Timur.

Apapun laporan yang dihidangkan kepada pembaca maka akan ada komen pelbagai aliran positif atau negatif yang bakal dihidangkan kelompok netizen sama ada real netizen atau akaun fake yang sengaja dicipta kelompok tertentu demi kelangsungan agenda mereka.

Harakah tidak terkecuali mendepani perihal berkenaan sejak PRU14 hingga kini.

Walaupun secara khususnya Harakah adalah media milik PAS yang diletakkan di bawah Jabatan Penerangan PAS Pusat, namun Harakah tidak boleh tidak menjadi sebuah akhbar yang berwajah akhbar massa dalam sikap dan gaya pelaporannya meskipun ia harus mengikut laras dan dasar yang telah ditetapkan.

Dalam capaian maya, Harakah kini kembali bersaing ke medan tempur maya selepas sedikit pembaharuan berjalan November lalu dalam kerangka laporan dan perjalanannya hingga alhamdulillah selama 4 bulan HarakahDaily sudah mencapai 11 juta hits pada hujung Mac lalu berbanding hanya sekitar 1 juta sahaja hits pada tempoh sama semasa berdepan PRU14.

Walaupun sumber tenaga di Harakah tidak ramai, namun pencapaian ini walaupun masih belum boleh berpuas hati, tetapi ia langkah awal yang boleh menjadi benchmark berdepan PRU15 pula.

Dalam musim PKP ini, kami terus bergerak ke gerbang jasa dengan sepenuh perhatian membawa aspirasi ummah dan rakyat demi melaporkan suara kebenaran.

Taggal 3 Mei ini (Hari Kebebasan Media Sedunia) amat bermakna buat kami penggiat media ini, apatah lagi jika kita mengambil iktibar bahawa peranan media sebagai mata rantai kepada rakyat dalam mendapatkan maklumat sahih.

Apapun yang kami alami dalam mendapatkan sumber, mencari bahan bekerja dalam waktu tidak menentu, sakit pening mahupun ‘kantung kosong’ tetapi apa yang dihidangkan melalui laporan tidak pernah diselitkan kepentingan kami sebagai warga media.

Wartawan atau pengamal media juga manusia yang hidup dalam masyarakat selain ia menjadi dirinya yang sebenar. Maka di sana mereka akan tetap ada perasaan yang rencam sifatnya dalam mendepani cabaran kerjaya dan mengimbangi tuntutan kebebasan media yang mungkin sedang diperjuangkan.

Cukup pada tanggal 3 Mei, warga media menerima pesanan ringkas ucapan selamat menyambut Hari Kebebasan Media yang harus dimaknakan dengan sebaiknya agar warga media tidak hanya menjadi pelapor semata tanpa jiwanya terisi kalam kebenaran.

Hari ini kita semua selaku pengamal media adalah frontliner, maka pengamal media haruslah meletakkan asas kebertanggungjawaban melapor apa yang benar, dan integriti dalam tugasan serta tidak bias dalam laporan yang dipersembahkan.

Dalam mencari makna bebas, kebebasan sebenar pengamal media tidak boleh tidak berpegang kepada kebenaran hakiki, walau mereka disumbatkan dengan dakyah yang berbeza sifatnya dengan dunia kewartawanan.

Selamat Hari Kebebasan Media Sedunia buat semua sahabat pengamal media yang berjuang setiap hari setiap masa dalam hidupnya, pilihan antara bebas dan kebebasan sebenar, di manakah kita?

Sama-sama renunginya.

WAN NORDIN WAN YAACOB – HARAKAHDAILY 3/5/2020

*Penulis adalah Ketua Pengarang Harakah. Bergiat selama 20 tahun dalam industri media. Menulis 2 buah buku – Clash Of Titans: Analisis Keputusan PRU 13 gandingan bersama Dr Riduan Mohd Nor. Buku novel motivasi – Berlari Ke Jannah-2019. Menyumbang 2 artikel khas buku Tribute Buat Sang Pencerah terbitan Jundi Resources.