EXCO ziarah keluarga ‘frontliner’ maut dirempuh

IPOH: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang sedang berlangsung ketika ini mencatat tragedi menyedihkan apabila Sekatan Jalan Raya (SJR) dirempuh hingga mengakibatkan kematian seorang anggota polis.

Advertisement

“Kita bersedih dan sudah pasti suatu kehilangan besar atas pemergian Almarhum yang berkhidmat di Cawangan D5, Jabatan Siasatan jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang, Selangor.

“Sudah pasti pengorbanan tinggi Almarhum dan seluruh petugas keselamatan yang bertugas penuh dedikasi amatlah dihargai,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria.

Beliau menziarahi keluarga anggota barisan hadapan negara itu di kediaman keluarga Almarhum di Tanjung Rambutan Tambun, di sini tengah hari tadi dan berharap seluruh ahli keluarganya bersabar dengan ujian Allah ini.

Kpl Safwan Mohd Ismail, 31 telah meninggal dunia di lokasi kejadian awal pagi ini dipercayai telah dihempap sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux dengan mendapat kecederaan di kepala dan badan.

Almarhum sebagai ‘frontliner’ ketika itu sedang bertugas di SJR 5, Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS dilanggar kenderaan tersebut yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk.

Suspek yang dikenalpasti berusia 44 tahun dan cedera parah serta berada dalam keadaan pengaruh alkohol berdasarkan bau arak dan tin minuman keras di dalam kenderaan suspek.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin yang turut hadir mendoakan kesejahteraan ke atas roh Almarhum agar diberi sebaik-baik ganjaran oleh Allah S.W.T.

Beliau juga berpesan agar seluruh rakyat Malaysia umumnya agar terus mematuhi peraturan PKP yang sedang berkuatkuasa ketika ini dan sentiasa menjaga keselamatan diri, keluarga dan persekitaran. – HARAKAHDAILY 3/5/2020