‘Frontliner’ sekatan PKP maut dirempuh pemandu mabuk

KUALA LUMPUR: Pemandu pacuan empat roda yang dipercayai mabuk telah bertindak melanggar sekatan jalan raya Ops COVID-19 dan menyebabkan seorang anggota polis terbunuh dalam kejadian di Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS, jam 2 pagi tadi.

Advertisement

Kpl Safwan Mohd Ismail, 31 yang merupakan anggota barisan hadapan negara bertugas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu maut di tempat kejadian setelah cedera teruk di kepala dan badan akibat dirempuh dan dihempap kenderaan tersebut.

Menurut laporan dari sumber Polis Diraja Malaysia, kenderaan tersebut telah dipandu dengan laju sebelum hilang kawalan dan terbabas dengan turut melanggar semua papan tanda amaran awal pemeriksaan polis termasuk sebuah kereta dan tiga motosikal.

Pegawai Penyiasat, Insp Ammar Tahir dalam laporan itu menyatakan punca kemalangan adalah dari kecuaian pemandu yang juga dipercayai dipengaruhi alkohol berdasarkan bau arak dan tin minuman keras di dalam kenderaan suspek.

Pemandu yang cedera parah itu telah dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapat rawatan dan diambil sampel darah bagi ujian toksikologi, manakala mangsa terbunuh dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. – HARAKAHDAILY 3/5/2020