Satu kenderaan, maksimum 4 orang bersyarat

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sumber Foto-Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa penumpang maksimum 4 orang dengan syarat kesemua penumpang adalah dalam kalangan ahli keluarga dari rumah yang sama.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Ismail Sabri Yaakob, kelonggaran tersebut diberikan memandangkan tiada isu penjarakan sosial berikutan mereka dari rumah yang sama.

Bagaimapun menurut beliau, sekiranya terdapat individu yang ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu, individu tersebut akan dikenakan tindakan.

“Bagi kenderaan persendirian, kita dapati tidak ada isu dengan penjarakan sosial, dari rumah yang sama, sebab seperti kita tahu penjarakan sosial tidak berlaku dalam rumah setiap keluarga.

“Mereka makan bersama, tidur bersama dan sebagainya, sebab itulah kerajaan memutuskan untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa maksimum empat orang di dalam setiap kenderaan, tetapi mestilah dari keluarga yang sama, dari rumah yang sama.

“Bgaimanapun saya percaya akan ada yang cuba membawa kawan-kawannya, ada yang ingkar, dan seperti saya kata, bahwa SOP ini mesti dipatuhi dan sesiapa yang melanggar SOP, akan dikenakan tindakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media harian berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, bagi pengangkutan awam seperti bas, LRT, MRT, KTM, Monorel dan sebagainya, kerajaan hanya membenarkan separuh penumpang sahaja daripada jumlah kapasiti sebenar.

“Esok kakitangan awam dan swasta akan mula bertugas. Oleh itu semua perkhidmatan pengangkutan awam akan kembali beroperasi seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan perjalanan warga kerja ke tempat kerja masing-masing.

“Namun pengguna dan pengendali perkhidmatan harus mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dalam kenderaan awam.

“Sebagai contoh jika bas boleh memuatkan 40 penumpang maka kenderaan itu hanya boleh mengambil 20 penumpang sahaja sewaktu PKP, begitu juga LRT atau MRT hanya boleh bawa separuh dari jumlah yang dipenuhi dalam setiap gerabak. Manakalan, untuk tempat berdiri juga akan ditanda,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 3/5/2020