Tarik kelonggaran jika langgar syarat – Dr Khairudin

KUALA NERUS: Kerajaan akan menarik balik ‘kelonggaran’ yang diberikan pada fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jika pemain industri terbabit didapati melanggar terma dan syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, semua sektor di bawah kementeriannya diberi pelepasan beroperasi.

Advertisement

Katanya, meskipun diberi kebenaran beroperasi 100 peratus tetapi masih tertakluk kepada syarat yang ketat mengikut tatacara keselamatan.

“Kerajaan telah umumkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan untuk Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), kami diberi pelepasan untuk semua sektor itu beroperasi.

“Daripada (kelapa) sawit, getah, koko dan kenaf, semua boleh beroperasi pada level perladangan, pengilangan dan lavel jual beli dagangan. Juga termasuk yang melibatkan agihan baja dan sebagainya.

“Walaupun kementerian dibenarkan beroperasi sepenuhnya sampai peringkat 100 peratus. Kita tetapkan kepada mereka syarat-syarat yang ketat iaitu mesti mengikut tatacara keselamatan.

“Iaitu pengambilan suhu di awal pagi yang direkodkan setiap hari, penggunaan sanitizer dan termasuklah penggiliran kerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyampaikan sumbangan lauk berbuka puasa dan barangan keperluan harian kepada penduduk miskin di Kampung Banggol Peradong, Buloh Gading, Kuala Nerus, semalam.

Menurutnya, sebelum ini sektor perladangan hanya dibenarkan beroperasi sekitar 70 peratus dan sekarang mencapai peringkat 100 peratus.

“Cuma kita minta buat penggiliran kerjalah. Dahulunya, kita di peringkat (tanaman) koko, kenaf dan lada memang tidak beroperasi peringkat perladangan. Kalau koko peringkat kilang pengisar sahaja tapi sekarang semua peringkat perladangan dibenarkan beroperasi,” jelasnya.

Namun, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, jika didapati berlaku pelanggaran syarat PKPB maka kerajaan akan mengambil tindakan menarik balik kelonggaran tersebut.

“Amaran kita seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kalau langgar syarat kita, kita akan tarik balik kelonggaran.

“Sebab kita (kerajaan) masih guna terma ‘kelonggaran’ (PKPB). Maknanya, jika langgar syarat kelonggaran itu maka akan ditarik balik. Kita masih lagi dalam tempoh PKP, berkait dengan Akta 342.

“Sepatutnya ada arahan atau kawalan pergerakan ini tetapi kita perluaskan lagi kelonggaran itu pada sektor-sektor yang lain. Jadi kena faham, kita masih dalam tempoh PKP. Cuma kita beri peluang ‘bernafas’ untuk ekonomi,” tegasnya.

Pada 1 Mei lalu, dalam Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bermula 4 Mei bagi membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi dan rakyat boleh melakukan aktiviti sosial tertentu.

Sebelum itu, Dato’ Dr Khairuddin telah mengagihkan sumbangan tersebut kepada tiga warga penduduk Kampung Banggol Peradong, yang terpilih daripada 115 penerima lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Gading, Kuala Nerus.

Hadir sama mengiringnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim dan Pegawai Khas Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Yusrizal Wan Shafie dan Pegawai Parlimen DUN Buloh Gading, Yusof Ismail.- HARAKAHDAILY 3/5/2020