T’ganu tarik semula PKPB jika pematuhan rendah

Menteri Besar Terengganu. Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KERAJAAN Negeri Terengganu akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin pada 1 Mei 2020.

Ini amat bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang agak lesu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Ia juga berasaskan kebajikan rakyat dan perkembangan terkini kes COVID-19 di Terengganu yang bertambah baik.

Namun, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk membuat perubahan pada PKPB supaya kembali lebih ketat sekiranya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah di tahap rendah dan memberi kesan pada status kesihatan rakyat.

Advertisement

Kerajaan Negeri tetap memandang serius akan pelaksanaannya dan terus komited dengan apa sahaja langkah pencegahan, terutama pematuhan yang ketat SOP yang akan dinilai dari semasa ke semasa.

Semua pihak juga perlu memainkan peranan terutamanya agensi dan jabatan kerajaan, termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan setiap keluarga untuk melaksanakan kawalan sendiri dan pematuhan SOP adalah sangat diperlukan.

Terus tingkatkan munajat kepada Allah SWT agar wabak pandemik ini segera dipulihkan dan kita semua sentiasa dalam perlindungan-Nya.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu- HARAKAHDAILY 3/5/2020