Arak musuh negara

Al-FATIHAH buat Almarhum Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Advertisement

Arak musuh negara. Berikutan kejadian yang menimpa Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Petaling Jaya (DPPK PJ) merakamkan ucapan takziah buat keluarga almarhum di atas apa yang terjadi.

Kejadian pemandu mabuk merempuh dan membunuh pengguna jalanraya bahkan pihak berkuasa bukan kejadian pertama kali berlaku, tetapi sudah berulangkali. Namun, hukuman yang sedia ada seolah-olah tidak mampu mengawal dan mengekang semua yang berlaku.

Sehubungan dengan apa yang telah berlaku, pihak DPPK PJ menyeru pihak kerajaan agar dapat meneliti semula akta-akta berkaitan penjualan minuman keras di negara ini.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan agama di dunia ini memperakui bahawa arak sangat memberikan kesan buruk kepada individu dan masyarakat baik dari sudut kesihatan mahupun keselamatan.

Sudah tiba masanya masyarakat Malaysia mengamalkan norma baru bebas daripada pengaruh alkohol yang merugikan banyak pihak.

Sekiranya membebaskan diri daripada tekanan menjadi alasan pengambilan minuman keras, maka seharusnya ia ditukar kepada aktiviti yang lebih menyihatkan dan tidak merisikokan orang lain.

Sebenarnya tiada alasan untuk kita berubah kerana kita mampu menentukan apa yang kita mampu lakukan. Hakikatnya, semua insan cintakan kebaikan maka inilah masanya kita lakukan perubahan.

Firman Allah SWT;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. [Al-Ma’idah : 90]

Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Petaling Jaya. – HARAKAHDAILY 4/5/2020