Keluarga mangsa kebakaran perlu bantuan

KEPALA BATAS: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Bakau Tua, di sini pagi semalam.

Advertisement

Mangsa, Rosli Saad, 51 berkata, segala barang keperluan harian, termasuk dokumen penting musnah dalam kejadian berkenaan, menyebabkan beliau dan anggota keluarga lain tinggal sehelai sepinggang.

Ketika kejadian tersebut beliau telah turun ke laut, hanya isterinya anak-anak di rumah di mana Rosli cuma mengetahui hal itu dari makluman oleh jiran, namun semuanya sudah musnah.

Pun begitu, mangsa tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat dalam kejadian yang dikatakan berlaku dengan sangat pantas itu.

Katanya, walaupun ada antara anak-anaknya sudah bekerja, namun pendapatan mereka hanya sekadar mencukupi untuk menampung keperluan keluarga.

ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah telah menziarahi mangsa kebakaran bagi menyampaikan sumbangan atas musibah yang menimpa keluarga tersebut.

Pusat Khidmat ADUN Penaga juga telah melancarkan tabung infaq untuk membantu keluarga tersebut dan amat mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 557250065963 atas nama MYMP Ummah Resources dengan rujukan ‘kebakaran’. – HARAKAHDAILY 4/5/2020