Ramadan: Budayakan ilmu, manfaatkan normal baharu

ramadan

KELONGGARAN yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas Hari Pekerja baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi penduduk seluruh negara dan mula menjadi perbualan dengan pelbagai persepsi masyarakat.

Namun sewajarnya diterima sebagai berita gembira secara keseluruhannya berdasarkan Standard of Procedure (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula akan dilaksanakan hari ini, 4 Mei 2020.

Seperti yang telah disebutkan juga oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini, sedikit kelonggaran diberikan dan bukannya terlalu longgar sebagai mendidik masyarakat untuk saling bertanggungjawab antara satu sama lain melalui amalan kehidupan normal baharu.

Kita juga mestilah memanfaatkan masa yang ada dan akan memberi peluang meningkatnya kesedaran orang ramai untuk terus berdisiplin dalam mengatur kehidupan mengikut keperluan seharian dengan batasan tertentu.

Oleh yang demikian, pelbagai ruang tersedia untuk kita membudayakan ilmu pengetahuan di sepanjang bulan Ramadan khususnya berkaitan ilmu agama kerana ianya adalah kewajipan setiap Muslim dan ilmu lainnya juga sebagai fardhu kifayah.

Advertisement

Sudah pasti dalam suasana bulan Ramadan al-Mubarak ini, kelihatan pelbagai majlis ilmu dianjurkan secara dalam talian mahu pun melalui saluran media elektronik khususnya di TV Al-Hijrah dalam rancangan ‘Qur’an Time’ setiap hari.

Malah banyak pihak termasuk masjid dan surau serta figura para ilmuwan menghidupkan Ramadan kali ini dengan bersiaran secara langsung (live) di media sosial setiap hari berkongsi pelbagai ilmu dan nasihat.

Hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya;

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah S.W.T akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah S.W.T akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.”

Justeru, benarlah bahawa ilmu pengetahuan merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara tersebut baik atau tidak selanjutnya akan menjadikan kita tergolong dalam kelompok yang beruntung.

Sebagaimana Firman Allah S.W.T di dalam al-Qur’an yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”

(al-Mujaadalah: 11)

Apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak dan bermanfaat, nescaya memberi banyak kelebihan khususnya dalam menilai sesuatu perkara melalui sisi kebaikan dengan memahami mengambil mudarat yang lebih kecil.

Dalam banyak situasi juga seharusnya difahami bahawa, setiap keputusan dan tindakan yang dibuat pihak pemerintah khususnya tidak mampu memenuhi kehendak semua orang, namun ambillah ia dari sudut yang positif seterusnya menyesuaikannya dengan wajar.

Banyak disebut para alim ulamak dan para ilmuwan khususnya berpesan agar jadilah seperti lebah berbanding menjadi lalat yang boleh menjadi nilai sebuah kehidupan, juga turut bersandarkan Hadis Nabi S.A.W.

Diriwayatkan Ibnu Hibban, daripada Abu Razin R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Orang yang beriman itu seperti lebah, dia tidak makan kecuali yang baik dan tidak mengeluarkan sesuatu kecuali yang baik.”

Dalam hidup kita biar jadi seperti mata lebah yang fokus mencari bunga (kebaikan) walaupun dalam semak samun dan janganlah pula kita jadi seperti mata lalat yang hidupnya fokus mencari sampah (keburukan) walaupun di taman bunga.

Maka, bagaimana untuk kita sentiasa kekal positif sudah pasti melalui ilmu yang diamalkan sebaiknya serta turut berkongsi perkara kebaikan di mana-mana sahaja termasuk pelbagai medium dan platform media sosial.

Sebaliknya janganlah pula kita menambahkan kekeliruan masyarakat dengan menyebarkan persepsi malah lebih teruk lagi menjadikan berita tidak benar sebagai unsur fitnah yang boleh menimbulkan huru-hara.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud;

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Kita sebenarnya mampu memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini dengan sebaiknya malah sebenarnya bertuah menjalani ibadah puasa dalam tempoh PKP yang memerlukan kebanyakan daripada kita berada di rumah.

Marilah sama-sama kita berikan penumpuan terhadap amal ibadat kita dengan memperbanyak aktiviti membudayakan ilmu melalui pelbagai kaedah yang boleh disesuaikan termasuklah menggunakan kemudahan teknologi yang tersedia, InsyaAllah.

ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 4/5/2020