Saringan Covid-19 diwajibkan ke atas pekerja asing

KUALA LUMPUR: Kerajaan mewajibkan pekerja warga asing di semua sektor menjalani saringan kesihatan Covid-19 atau ‘swab test‘ berikutan terdapat peningkatan kes positif dalam kalangan mereka.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dua hari berturut-turut pihaknya mendapati peningkatan kes positif Covid-19 dan ianya berlaku kepada para pekerja asing yang bekerja di Ampang.

“Untuk membendung penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak maka pihak kementerian kerja raya telah menutup tapak pembinaan tersebut.

“Seterusnya sebagai langkah pencegahan, mesyuarat hari ini telah bersetuju membuat keputusan untuk mewajibkan semua pekerja warga asing di semua sektor sama ada pembinaan, perkilangan atau komersial yang lain termasuk kedai makan dan sebagainya melakukan pemeriksaan saringan kesihatan Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, kos bagi saringan tersebut perlu ditanggung oleh majikan mereka di mana Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk memulakan ujian saringan itu di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Kerajaan turut memberi peringatan, sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja, sama ada tapak pembinaan, kilang mahupun restoran atau apa-apa perniagaan akan terus ditutup.

“Jika ada kita kesan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka, maka kilang ataupun sektor tersebut akan ditutup serta merta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/5/2020