Semua negeri tertakluk kepada peraturan PKPB

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah pun diwartakan dan secara automatiknya semua peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) terbatal.

Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seluruh negara termasuk negeri dan daerah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan dalam PKPB mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Advertisement

Jelasnya, apabila PKPB diwartakan maka peraturan di bawah peraturan PKP sebelumnya akan terbatal kerana ia berdasarkan kepada tarikh permulaan dan pengakhiran pewartaan setiap PKP.

“Jika ada pihak tertentu yang mengatakan kami ingin mematuhi akta atau peraturan di bawah PKP sebelum, maka ianya salah di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.- HARAKAHDAILY 4/5/2020