Tragedi arak: Pinda akta lebih tegas

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) terus memberikan komitmen untuk memastikan undang-undang berkenaan arak dan pemandu di bawah pengaruh alkohol diperketatkan dan dikenakan tindakan tegas.

Advertisement

Islam yang bersifat prihatin dalam menjaga nyawa dan akal mengharamkan segala jenis perbuatan yang melibatkan arak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” Surah al-Maidah (90)

Tragedi kemalangan jalanraya akibat pemandu mabuk menjadi igauan rakyat kerana sering dilaporkan dalam berita dan akhbar. Sepanjang 2018, kematian berpunca daripada pemandu mabuk atau pemandu bawah pengaruh alkohol (DUI) ialah 54 kes, manakala yang mengalami cedera parah adalah 63 kes dan cedera ringan 63 kes.

Lebih membimbangkan, walaupun negara berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes yang ditahan pihak berkuasa melibatkan arak dan pemandu mabuk terus berlaku.

PAS akan memastikan agar dipercepatkan penggubalan Akta Pengangkutan Jalan bersabit pemandu mabuk seterusnya menguatkuasakan akta kawalan terhadap minuman arak terutama di premis terbuka.

Jika dilihat di negara lain seperti Thailand, Vietnam dan Russia, kesalahan pemandu mabuk bakal digantung lesen pada tempoh masa tertentu, perlu membayar ganti rugi wang tunai kepada keluarga mangsa dan perlu menjalani program khidmat masyarakat. Manakala di negara Islam seperti UAE dan Arab Saudi, pesalah bukan sahaja dipenjara, malah didenda dan disebat di khalayak ramai.

PAS juga menyeru rakyat Malaysia mewujudkan gelombang solidariti bagi menuntut pihak kerajaan bertindak segera kerana sudah terlalu banyak kemalangan maut berlaku akibat pemandu mabuk ini.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
4 Mei 2020 | 11 Ramadan 1441 – HARAKAHDAILY 4/5/2020