Agenda Islam tetap diperjuangkan PAS

Dato' Mohd Nassuruddin Daud ketika menjadi tetamu bicara Kelantankini yang disiarkan dalam talian Kelantan TV semalam.

KOTA BHARU: PAS tidak pernah lupa asas perjuangannya memartabatkan agama Islam di Malaysia walaupun sudah menjadi sebahagian komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, perlembagaan negara memberi laluan supaya agama Islam dapat diperkasakan dan dimartabatkan.

Advertisement

Katanya Perkara 3 (1) Perlembagaan Perrsekutuan menyebut dengan jelas Islam adalah agama persekutuan.

“Maka inilah yang kita kena perkasakan. Sebelum ini kita perjuangan untuk pinda Akta 355 supaya Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa lebih besar untuk jatuhkan hukuman terhadap orang Islam yang melakukan kesalahan.

“Biar mereka ada perasaan takut, ada kegerunan tetapi usaha itu ada halangan sebelum ini,” katanya ketika menjadi tetamu bicara Kelantankini yang disiarkan dalam talian Kelantan TV semalam.

Sebelum ini Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda RUU 355.

Bagaimanapun RUU tersebut tergantung selepas kerajaan Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum 2018.- HARAKAHDAILY 5/5/2020