Dapur It’am serlah peranan masjid dalam masyarakat

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary turut menyertai program Dapur It’am Ramadan di Masjid Al-Hidayah dan Masjid Amru Ibni Al-As, Sentul, di sini semalam.

Advertisement

Inisiatif di bawah kementerian ini dilaksanakan dengan seliaan dan pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang juga melibatkan seluruh masjid lainnya.

Sasaran sumbangan makanan ini adalah kepada para asnaf, golongan B40, barisan hadapan negara, gelandangan yang telah dipusatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan ahli kariah yang perlukan juadah berbuka puasa.

Pengerusi Masjid Al-Hidayah Sentul Pasar, Mohd Jiwa Khairi mengetuai penyediaan sebanyak 150 pek Nasi Arab Kari Kambing yang kemudian diagihkan bersama Ustaz Marzuk kepada para penerima sedia dikenalpasti.

Manakala Pengerusi Masjid Amru Ibni Al-As Bandar Baru Sentul, Abd Kadir Abd Karim memimpin penyediaan juadah nasi putih bersama asam pedas daging dan sayur campur yang kemudian diedar kepada wakil-wakil penerima.

Menurut Ustaz Marzuk, Dapur It’am adalah kesinambungan kepada program bantuan makanan asas disediakan pihak masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada golongan memerlukan.

Katanya, peranan dimainkan institusi ini penting bagi membantu golongan yang menjadi penerima di bawah program ini sebagai mengerat hubungan dan menggalak amalan sedekah sebagai antara kemuliaan ajaran Islam.

Menurutnya, menerusi program ini juga menjadi peluang pihak masjid menyantuni kejiranan dan menyerlahkan keprihatinan kepada golongan memerlukan tanpa mereka rasa terpinggir.

Turut serta pada kedua-dua program adalah Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Munir Md Salleh dan Pegawai Tadbir Agama Zon 2 JAWI, Mohd Shiham Ramli. – HARAKAHDAILY 5/5/2020