Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 12)

KUPASAN ayat hari ini menyentuh mengenai perangai manusia yang tidak mahu bersyukur dan bersikap angkuh. Sepatutnya, manusia perlu menanamkan rasa bersyukur dalam diri, berasa bertuah apabila ditimpa sakit setelah itu Allah sembuhkan semula. Apabila dia ditimpa kesusahan, miskin dan muflis, Allah selamatkan dia lalu mendapat kesenangan dan menjadi kaya raya semula. Allah S.W.T telah mendedahkan sikap buruk manusia yang menguasai diri mereka. Mereka merasakan segala nikmat yang diperolehi adalah hasil kepandaian dan kehebatan diri sendiri, sebagaimana melalui firman-Nya:

Advertisement

وَلَىِٕنۡ أَذَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنَّا رَحۡمَةࣰ ثُمَّ نَزَعۡنَـٰهَا مِنۡهُ إِنَّهُۥ لَیَـُٔوسࣱ كَفُورࣱ. وَلَىِٕنۡ أَذَقۡنَـٰهُ نَعۡمَاۤءَ بَعۡدَ ضَرَّاۤءَ مَسَّتۡهُ لَیَقُولَنَّ ذَهَبَ ٱلسَّیِّـَٔاتُ عَنِّیۤۚ إِنَّهُۥ لَفَرِحࣱ فَخُورٌ

“Dan demi sesungguhnya, jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat daripada Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya, kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah dia menderita kesusahan, tentulah dia akan berkata: Telah hilang lenyaplah daripadaku segala kesusahan yang menimpaku. Sesungguhnya dia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).”

[Hud: 9-10]

Pada hakikatnya, manusia dicipta adalah untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Dalam masa yang sama, manusia diberi ujian untuk melayakkan mereka mendapat rahmat dan kasih-sayang serta nikmat yang lebih banyak. Namun, jenis manusia yang takbur serta kufur kepada Allah hanya melihat kesenangan dunia serta kemewahan yang ada di hadapan mata sahaja. Dalam tafsir al-Qurtubi menyatakan bahawa ayat tadi antara lain diturunkan kepada Al-Walid bin Al-Mughirah, seorang jutawan dan pemuka Quraisy. Beliau terlalu angkuh dengan kekayaan yang dimiliki. Kenderaan tunggangan, kebun, gedung perniagaan dan tempat pemprosesan senjata di Makkah boleh dikatakan keseluruhannya adalah milik Al-Walid bin Al-Mughirah. Beliau pernah meruntuhkan Kaabah untuk menyatakan kepada rakyat bahawa dia boleh membina semula dengan kekayaannya. Sikap angkuh ini menyebabkan dirinya jauh daripada hidayah Allah S.W.T.

Syeikh Said Hawwa melalui tafsirnya, Al-Asas Fi Al-Tafasir menyatakan bahawa orang yang kufur terhadap nikmat kesenangan dan kekayaan serta tidak sabar apabila diuji dan tidak bersyukur apabila nikmat yang hilang diperolehi semula, adalah golongan yang angkuh dan mendapat kemurkaan Allah. Sikap tersebut sesekali tidak boleh bertapak dalam diri orang Mukmin. Sebenarnya sifat sedemikian amat disukai oleh golongan yang cintakan dunia. Kebendaan telah mempengaruhi diri dan mereka boleh berbuat apa sahaja dengan menggunakan lojik akal tanpa merujuk kepada sumber hukum; Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak serta Qias.

Berlainan dengan golongan yang beriman, apabila ditimpa musibah mereka akan kembali kepada Allah. Sewaktu senang dan dianugerah dengan pelbagai nikmat, mereka meningkatkan pengabdian kepada Allah. Namun, seandainya menerima musibah, mereka bersabar, tidak menggelabah, kecewa, panik dan berputus asa. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang beriman yang sentiasa menerima ketetapan Allah dengan baik sekalipun ketetapan itu adalah berbentuk musibah. Sabda Nabi S.A.W:

عَجَبًا لأَمْرِ المُؤْمِنِ، إنَّ أمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وليسَ ذاكَ لأَحَدٍ إلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إنْ أصابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكانَ خَيْرًا له، وإنْ أصابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكانَ خَيْرًا له.

“Sungguh menakjubkan sikap yang ditunjukkan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusan (yang diterima) adalah baik, dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi orang Mukmin. Jika dia dianugerahi nikmat dia bersyukur dan itu baik baginya. Sekiranya dia tertimpa musibah dia bersabar maka itu juga baik baginya.”

(Riwayat Muslim)

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
12 Ramadhan 1441 / 05 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 5/5/2020