KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap pihak Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memahami tindakan terbaharu yang diambil oleh kerajaan adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19 ini.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan yang di keluarkan semalam bagi saringan Covid-19 atau ‘swab test’ yang diwajibkan kepada pekerja asing adalah kerana bimbang akan wujud kluster baru iaitu kluster pekerja warga asing.
“Oleh kerana tiga hari lepas terdapat berlakunya peningkatan yang agak tinggi selama dua hari berturut-turut di sebabkan oleh kluster baru ini iaitu pekerja asing di tapak pembinaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kita tidak mahu perkara yang berlaku seperti di negara jiran iaitu di Singapura yang selama ini agak mendatar dari segi kes positif Covid-19, akan tetapi selepas adanya kluster baru iaitu kluster warga asing di Singapura akhirnya kes positif Covid-19 naik mendadak.
“Kita tidak mahu perkara itu berlaku di negara kita, saya harap Persekutuan Majikan perlu faham bahawa apa yang kita lakukan ini untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat di negara kita,” ujarnya.
Walaubagaimanapun, Ismail Sabri berkata lebih 60% daripada pekerja asing ini adalah merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Mereka akan ditanggung oleh PERKESO untuk melakukan ujian saringan ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, beliau menasihatkan untuk majikan agar terus membuka kilang atau premis dan melakukan saringan untuk pekerja mereka.
“Jika terdapat dalam kalangan pekerja mereka positif kita terpaksa menutup operasi perniagaan atau kilang tersebut.
“Jika melakukan saringan dan ada pekerja positif kita akan asingkan yang positif dan dirawat. Manakala pekerja negatif boleh terus bekerja. Dengan langkah ini operasi syarikat tidak akan terjejas.
“Untuk peringkat awal walaupun kita kata semua mesti mengadakan ujian saringan Covid-19 atau ‘swab test’ ini tetapi kita mulakan dengan pekerja-pekerja di tapak binaan dahulu,” ujarnya.
Katanya, mengikut nasihat oleh Kementerian Kesihatan proses atau ujian tersebut akan dimulakan di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan dan Selangor. – HARAKAHDAILY 5/5/2020