Tuntut hukuman maksimum pemandu mabuk

Susulan kes rempuh 'frontliner' hingga maut

DEWAN Muslimat PAS Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah di atas kematian Koperal Safwan Mohd Ismail yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Kilometer 2.8 Lebuhraya Lekas arah Plaza Tol Kajang Selatan kira-kira jam 2 pagi pada 3 Mei lalu. 

Advertisement

Kejadian tersebut terjadi kerana mangsa dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda yang dipercayai dipandu oleh seorang pemandu mabuk.

Dewan Muslimat PAS Malaysia juga ingin melahirkan rasa kekesalan di atas kejadian kerana boleh berlaku di waktu negara sedang berjuang melawan penyakit pandemic Covid 19. 

Apa yang terjadi menunjukkan seolah-olah ada rakyat yang tidak sensitif dengan perintah kawalan pergerakan ( PKP ) dan bertindak seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan normal.

Sebelum kejadian ini juga telah dilaporkan pelanggaran PKP akibat mabuk seperti yang berlaku di Butterworth pada 7 April 2020 di mana sembilan orang ditahan kerana “berpesta” arak. 

Terdapat kejadian lain yang berlaku di Penampang, Sabah di mana seorang lelaki ditahan kerana melanggar sekatan jalan raya akibat mabuk pada 19 April 2020.

Keadaan ini seumpama “ wake up call” untuk mengulang kembali apa yang pernah disaran sebelum ini untuk mengenakan tindakan undang-undang yang lebih tegas kepada pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. 

Sebelum ini kejadian pemandu mabuk melanggar penduduk awam berturut-turut berlaku di sekitar bulan Januari dan Februari.

Ternyata seksyen 44(1) Akta 333 yang menyebut Mana-mana orang yang, semasa memandu sesuatu kenderaan motor di jalan atau tempat awam lain – (a) berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, setakat yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya, atau (b) mempunyai sebegitu banyak alkohol dalam badannya sehingga kadar alkohol di dalam nafas, darah atau air kencingnya melebihi had yang ditetapkan, dan menyebabkan kematian atau kepada mana-mana orang melakukan kesalahan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lapan ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit dan juga;

Seksyen 44 (3) Akta 333; Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini adalah hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan dan, dalam hal sabitan kedua atau kali kemudian, hilang kelayakan selama tempoh sepuluh tahun dari tarikh sabitan adalah sangat tidak relevan dan tidak melahirkan kegerunan di hati mereka.

Dewan Muslimat PAS Malaysia merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk kerajaan menggubal akta baru yang lebih menggerunkan seperti yang disaran akan dilaksanakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin. 

Akta tersebut tidak lagi harus ditangguh untuk digubal memandangkan yang terlibat tidak langsung gerun untuk memandu dalam keadaan mabuk.

“Islam Memimpin Wanita Sejahtera”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH

Ketua Dewan Muslimat PAS MALAYSIA

12 Ramadan 1441 – HARAKAHDAILY 5/5/2020