PKPB: Rakyat perlu kekal disiplin

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah untuk memberi kelonggaran bagi menggerakkan kembali kerja pemulihan ekonomi.

Dalam satu kenyataan semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, langkah kerajaan itu bukanlah suatu sikap semberono, namun ia dilakukan setelah mengambil kira perkembangan semasa Covid-19 dalam negara.

“Bermula dari fasa ‘peperangan’ kemudian fasa pemulihan, kini kerajaan membuat keputusan selanjutnya dengan fasa normal baharu dengan kelonggaran yang diberikan,” katanya.

Namun begitu, katanya pendekatan kerajaan Negeri Selangor sedikit berbeza dengan Pusat, apabila terdapat beberapa perkara diubahsuai dengan dinamakan PKPBD (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai).

Bagaimanapun jelasnya, masih mengekalkan beberapa ketetapan kawalan ketat sehingga tamat fasa keempat iaitu pada 12 Mei lalu.

“Ia bukanlah suatu yang asing kerana, beberapa negeri lain turut bertindak sama bagi tidak sewenang-wenangnya kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan diambil mudah oleh rakyat atau kesempatan oleh pihak tertentu.

“Apa yang pasti, setiap rakyat mesti diberikan kefahaman bahawa kelonggaran ini bagi menggerakkan kembali sektor ekonomi bukanlah bermakna kita telah menang sepenuhnya dalam menangani Covid-19.

“Kita berada dalam tempoh PKP namun kelonggaran adalah bersyarat. Rakyat mesti teruskan berdisiplin sebagaimana yang telah terdidik sejak PKP dimulakan pada 18 Mac lalu,” ujarnya.

Berkata Ahmad Yunus, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian topeng muka (face mask), penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan mesti diteruskan.

Menurutnya, kehidupan fasa normal baharu menuntut rakyat dan kerajaan lebih kreatif dalam mengadaptasi persekitaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kehidupan digital.

Justeru, beliau mengharapkan semua rakyat terus kekal dengan disiplin PKP dalam fasa normal baharu dan diharapkan semua pihak dapat menjayakan suasana ini untuk melonjakkan kembali ekonomi dan kelestarian negara.- HARAKAHDAILY 5/5/2020

Advertisement