Rakyat perlu biasakan dengan normal baharu

KUALA LUMPUR: Orang ramai mulai membiasakan diri dengan normal baharu selepas kerajaan memperkenalkan Standard Operasi Prosedur (SOP) untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaporkan kebanyakan pemilik premis perniagaan mematuhi SOP yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Malah katanya, pematuhan dalam kalangan rakyat juga amat memberangsangkan walaupun tidak seratus peratus.

Katanya, SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan orang ramai untuk keluar dengan menjaga kawalan kendiri seperti penjarakan sosial, memakai topeng muka dan menggunakan hand sanitizer.

“Dari segi laporan kita dapati bahawa pemilik premis yang memulakan perniagaan kebanyakannya mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Seperti periksa suhu badan sewaktu masuk ke premis perniagaan begitu juga menggunakan sanitizer sewaktu masa masuk dan sebagainya.

“Malah semalam di dalam media ditunjukkan satu pusat membeli belah itu mengawal dari segi kemasukan ke dalam premis perniagaan mereka.

“Ini menunjukkan bahawa norma baharu itu telah mula diikuit oleh dan menjadi budaya kepada rakyat kita,” katanya dalam sidang media harian PKP.

Beliau mewakili kerajaan mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana mempunyai kesedaran dan mampu membuat kawalan kendiri bagi membantu negara memerangi Covid-19. – HARAKAHDAILY 5/5/2020