Insiden libat pemandu mabuk sudah melampaui

SAMPAI bila insiden ini akan terus terjadi

Menyedihkan apabila berlakunya insiden maut yang mengorbankan nyawa yang tidak bersalah. Lebih-lebih lagi di musim PKP, korban maut pula dari kalangan barisan hadapan iaitu anggota polis yang sedang bertugas dalam menjaga keselamatan dan memastikan rantaian COVID-19 diputuskan.

Malah lebih menggeramkan pula, mangsa yang maut, pelaku insiden masih hidup. Inilah insiden maut ekoran pemandu mabuk. Malah ia bukan perkara baharu, tetapi sudah sekalian lama. Malah kajian demi kajian telah membuktikan tiada manfaatnya pada arak tersebut. Yang ada hanyalah kemudaratan yang besar.

Advertisement

Selain dari insiden maut Allahyarham Koperal Safwan di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS, berlaku juga beberapa insiden atau penahanan yang melibatkan pemandu mabuk sepanjang tempoh PKP ini iaitu:

(1) Tarikh 10 April 2020 – Seorang lelaki warga emas positif alkohol melebihi had yang dibenarkan memandu secara melulu sewaktu tiba di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol PJS 2 mengundang padah, apabila dia merempuh sebuah kereta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

(2) Tarikh 19 April 2020 – Seorang pemandu lori berumur 34 tahun ditangkap kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga kerana memandu dalam keadaan mabuk di sekatan jalan raya Op COVID-19 di Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

(3) Tarikh 24 April 2020 – Kedua-dua suspek berusia 21 dan 26 tahun di bawah pengaruh alkohol ditahan oleh anggota trafik yang menjalankan rondaan penguatkuasaan Ops COVID-19 sekitar jam 11.30 malam di Laluan Sungai Pari, Ipoh.

Solidariti hapuskan kilang arak mesti terus dan kuat

Selain dari tuntutan penguatkuasaan undang-undang tegas dan hukuman berat bagi pemandu mabuk yang mengakibatkan korban nyawa khususnya, perlu juga satu gelombang solidariti bagi menuntut pihak berkuasa melakukan sesuatu sehingga sampai tahap berjaya menghapuskan kilang arak.

Perbahasan orang non-Muslim minum arak bukan secara terbuka, semberono malah bukanlah ia menjadi tiket untuk adanya kilang arak. Ini kerana bila melibatkan kilang, ia melibatkan pemprosesan, sedangkan perbincangan hak non-Muslim minum arak ialah pada minum, tidaklah sampai tahap diberi izin pemprosesan apatah lagi bila tahap ‘kilang’ pastinya proses yang dilakukan dalam kuantiti yang banyak.

Malahan hak non-Muslim minum bukan sewenangnya dan terbuka. Ia mestilah:

(1) Tidak melibatkan kesan mabuk pada orang awam.
(2) Bukan terbuka atau bersifat komersial yang mencemarkan imej atau syiar negara Islam atau juga negara yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dan beberapa lagi syaratnya yang pernah ditekankan dalam beberapa penulisan sebelum ini. Disebabkan insiden berkaitan arak dan pemandu mabuk ini berulang maka ketegasan penulis tetap sama iaitu mesti cegah, tegas dan hukuman berat yang setimpal.

Beberapa artikel berkaitan boleh rujuk di pautan berikut:

(1) Nilai nyawa dan hukuman pembunuhan: https://bit.ly/39roIkB

(2) Sekat arak, cegah insiden pemandu mabuk: https://bit.ly/2JiaUyj

Solidiriti perlu dikuatkan dan diperkukuhkan dengan gerak kerja menuntut dan dalam masa yang sama cadangan agar:

(1) Dipertingkatkan hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan insiden maut.
(2) Kalangan Ahli Parlimen beragama Islam boleh berperanan untuk mengusulkan satu Rang Undang-undang bagi menghapuskan arak dan penutupan kilang arak mungkin secara berperingkat jika tidak sekali gus.
(3) Perbincangan dengan SOP yang tegas dalam perbahasan mengenai non-Muslim minum arak pada peruntukan yang dibenarkan. Lebih ketat dan hanya ‘minum’ sendirian di kediaman agar tidak melibatkan masyarakat awam di luar.

Didoakan pahala buat Allahyarham Koperal Safwan

Takziah diucapkan kepada keluarga Koperal Safwan Muhammad Ismail yang maut ketika sedang menjalankan tugas menjaga sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS apabila dirempuh dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda awal pagi tadi.

Bagi kita semua, insiden ini mengejutkan dan bercampur geram. Mengejutkan kerana berlaku di awal pagi sekitar jam 2:00 pagi yang melibatkan seorang anggota polis yang sedang bertugas dirempuh dan maut. Geram apabila pemandu yang memandu kenderaan pacuan empat roda disyaki mabuk.

Tuntutan keadilan buat Allahyarham ialah hukuman maksimum ke atas pemandu sebagaimana ini juga dimohon oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador. Dan pastinya ini juga yang dikehendaki oleh masyarakat agar pembelaan buat keluarga Allahyarham mengikut lunas undang-undang.

Dalam pada itu antara doa yang diajarkan apabila kita menerima sesuatu berita kematian ialah mendoakan ganjaran catatan kebaikan buat mereka seperti doa:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ اكْتُبْهُ فِي الْمُحْسِنِينَ، وَاجْعَلْ كِتَابَهُ فِي عِلِّيِّينَ، وَأَخْلِفْ عَلَى عَقِبِهِ فِي الْآخَرِينَ، اللهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ، وَلَا تَفْتِنَّا بَعْدَهُ “

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali. Dan sesungguhnya kepada tuhan kamilah kami kembali. Ya Allah, tuliskanlah ia di sisi-Mu termasuk golongan orang-orang yang baik. Jadikanlah catatannya di ‘illiyyin. Gantilah ia di keluarganya dari orang-orang yang meninggalkan. Janganlah engkau haramkan bagi kami pahalanya dan janganlah Engkau beri fitnah kepada kami sesudahnya.”

InsyaAllah petanda yang baik buat Allahyarham antaranya:

(1) Sedang melaksanakan tugasan.
(2) Dalam bulan mulia iaitu Ramadan.

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/5/2020