Syarat ketat pergerakan rentas negeri – Menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan meletakkan syarat terperinci untuk orang ramai yang akan melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok sehingga Ahad.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya termasuk gerai makan dan surau ditutup untuk kegunaan orang awam sepanjang tempoh pergerakan rentas negeri.

Advertisement

Namun, katanya hanya penggunaan tandas di kawasan R&R sahaja dibenarkan.

Katanya yang menasihatkan supaya mereka yang akan melakukan pergerakan rentas negeri untuk membawa makanan sendiri kerana gerai makanan ditutup.

“Pihak berkuasa akan berada di setiap R&R dan lain-lain tempat berhenti untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Walaubagaimanapun, kelonggaran diberikan kepada orang ramai yang melakukan perjalanan jauh untuk berhenti rehat di kawasan R&R namun perlu berada dalam kenderaan sahaja.

“Boleh berhenti di R&R tetapi tidak boleh keluar dan merayau di kawasan R&R, mereka perlu berada di dalam kereta masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, operasi stesen minyak turut dibuka dari pukul 6 pagi hingga 12 malam di sepanjang lebuh raya.- HARAKAHDAILY 6/5/2020