COVID-19: 74 pulih, 39 kes baharu

PUTRAJAYA: Malaysia mengekalkan angka dua digit dua hari berturut-turut bagi jumlah kes harian positif Covid-19 dengan 39 kes sahaja dilaporkan hari ini.

Advertisement

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes wabak itu di negara ini adalah seramai 6,467 orang.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu satu kes melibatkan kes import, manakala selebihnya penularan tempatan.

“Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 38 kes, di mana sebanyak lapan kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Sehingga kini katanya lagi, seramai 19 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, lapan kes pula masih memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 74 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ujarnya lagi, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari CoviI-19 dan telah discaj daripada wad adalah 4,776 kes.

Secara peratusnya, jumlah pulih meningkat kepada 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau juga memaklumkan juga bahawa tiada kes kematian berkaitan wabak itu direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes kekal 107 orang. – HARAKAHDAILY 7/5/2020