COVID-19: Cabaran kepada prasekolah dan TASKA

NORMA baru dalam kehidupan semasa COVID-19 yang melanda dunia dan tanah air khususnya menjadikan dunia pendidikan prasekolah dan TASKA menjadi lebih sukar dan mencabar. Kemelut yang melanda ini menyukarkan pengusaha pusat jagaan seperti prasekolah swasta dan TASKA untuk beroperasi. Penjarakan sosial yang menjadi norma baru bagi mengelakkan penularan COVID-19 ini dilihat sebagai suatu perkara yang sukar untuk dilaksanakan di prasekolah dan TASKA. Sehubungan dengan itu, perkara ini turut mendapat perhatian khusus Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Mohd Radzi Md Jidin sepertimana yang telah disiarkan dalam portal Berita Harian pada 15 April 2020.

Penularan wabak COVID-19 ini memberikan cabaran baru kepada kelestarian dunia pendidikan awal kanak-kanak selain mewujudkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke prasekolah atau TASKA. Bagi memastikan SOP baru yang mengutama penjarakan sosial sentiasa berlaku, pengusaha prasekolah dan TASKA terpaksa mengurangkan jumlah murid bagi memastikan terdapat penambahan ruang bagi pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PDP). Sama ada pengusaha prasekolah atau TASKA memilih untuk mengubah suai dan menambah ruang pembelajaran sedia ada bagi menampung keperluan semua pelajar atau mengurangkan jumlah pelajar sedia ada agar sesuai dengan kapasiti ruang yang ada. Semua strategi ini akan menyebabkan peningkatan kos dan bebanan pengurusan penjagaan kanak-kanak di prasekolah dan TASKA. Akhirnya kos tersebut akan diserap dalam yuran yang dikenakan kepada pihak ibu bapa pula, dengan kata lain, kemungkinan mereka perlu membayar lebih bagi menampung kos tersebut.

Advertisement

Selain itu, kesan COVID-19 menyebabkan guru-guru atau pengasuh juga terpaksa mengurangkan atau mengelakkan aktiviti yang melibatkan sentuhan dan sentiasa menjaga kebersihan dengan lebih teliti lagi dan perkara ini adalah agak sukar untuk dilaksanakan dan dikawal kerana mengambil kira sifat semula jadi kanak-kanak yang suka bermain dan bersentuhan antara satu sama lain. Prosedur kawalan pergerakan bagi kanak-kanak adalah suatu perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam premis prasekolah atau TASKA kerana menurut pakar pendidikan awal kanak-kanak, belajar melalui kaedah bermain, merupakan satu teknik pengajaran dan pembelajaran paling berkesan yang sering digunakan di prasekolah dan TASKA. Melalui teknik ini, guru-guru dan pengasuh dapat mewujudkan suasana keseronokan dan kepuasan kepada kanak-kanak dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Teknik baru pasca COVID-19 perlu difikirkan bagi memastikan kanak-kanak dan guru-guru serta pengasuh dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang terbaik dan sesuai. Dalam hal ini tugas dan bebanan guru pastinya bertambah.

Pihak Kerajaan perlu memberikan tumpuan ke atas permasalahan yang bakal dihadapi oleh pihak pengusaha prasekolah dan TASKA khususnya di kawasan bandar kerana kebanyakan ibu bapa di bandar perlu terus bekerja untuk meneruskan kehidupan manakala anak-anak perlu ada tempat jagaan dan tempat pendidikan yang selamat dan selesa semasa mereka berada di tempat kerja. Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat jagaan dan prasekolah akan merasa lebih selamat dan dapat mengurangkan kebimbangan jika prasekolah dan TASKA bersedia dari segi fasiliti dan kurikulumnya. Oleh itu, Dalam keadaan yang luar biasa ini kerjasama antara ibu bapa dan prasekolah serta TASKA amat diperlukan. Prasekolah dan TASKA perlu terus wujud untuk memastikan ibu bapa ada tempat untuk menjaga anak-anak mereka semasa mencari rezeki. Pertimbangan bayaran upah jagaan atau yuran prasekolah perlu diambil perhatian oleh ibu bapa. Manakala faktor kebersihan, keselamatan dan kesihatan perlu diambil perhatian yang lebih oleh pihak TASKA dan prasekolah. Kesimpulannya, semua pihak mengalami perubahan ketara norma kehidupan semasa dan selepas COVID-19 ini berlaku. Mahu atau tidak segala tindakan dan cara hidup kita pastinya perlu berubah mengikut keadaan yang berlaku. Sama-sama lah kita berganding mahu melawan virus ini walaupun berada di pihak mana sekalipun.

MOHD NAJIB BUDIMAN MOHD JUDI
Calon Master Pendidikan Awal kanak-kanak OUM
Setiausaha PASTI Kawasan Puchong
Pengurus PASTI Luqman Al-Hakim – HARAKAHDAILY 7/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.