Mengajak manusia ke jalan Allah: Panduan Quran

HARI ini hari ke-14 puasa Ramadan. Bagi seorang Mukmin yang bersungguh, sekurang-kurangnya dia telah sampai ke juzuk 14 dari al-Quran pada pagi ini. Dia akan melintasi ayat 125 surah an-Nahl yang biasa didengar, terutama mereka yang berada dalam gerakan Islam atau gerakan dakwah:

Advertisement

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ayat di atas menyuruh Nabi dan pengikutnya mengajak manusia kepada agama Allah. Soalnya mengajak itu bagaimana? Ayat tersebut memberikan panduan dan prinsip:

Pertama dengan hikmah yang bererti المقالة المحكمة الصحيحة (perkataan berprinsip yang benar) iaitu dalil yang menerangkan kepada kebenaran, menghilangkan kesamaran.

Kedua dengan al-mauizah al-hasanah iaitu dengan menggemarkan atau beri motivasi dengan dapat pahala, syurga dan memberi amaran dengan dosa dan neraka, juga disebut targhib wa tarhib, sehingga tidak tersembunyi bahawa engkau menasihati mereka dan engkau bermaksud mahu memberi manfaat kepada mereka.

Juga dengan perkataan yang lembut, seperti firman Allah:

وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ

” Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.”

(ali-Imran: 159)

Ketiga ialah wa jaadil hum billati hia ahsan iaitu berhujah dengan method, jalan yang merupakan sebaik-baik jalan berdebat atau berhujah dengan menggunakan pendekatan arrifq wallin (lemah-lembut) tanpa kasar, semberono, ganas. Juga menggunakan kaedah perdebatan menurut ilmu perdebatan. Ini bermanfaat untuk meredakan kejahatan mereka, seperti kata al-Baidhawi.

Ada ulamak yang berkata: Manusia dicipta dan dijadikan dalam 3 kategori:

Golongan pertama ialah ulamak, ilmuan, orang yang berpengetahuan yang sempurna, mempunyai akal sihat, mata hati yang terang, mencari dan mahu mengenal sesuatu menurut hakikatnya yang sebenar. Mereka ini yang ditunjuk dengan ayat ادع الى سبيل ربك بالحكمة iaitu seru mereka dengan menggunakan dalil-dalil yang qat’ie (jelas, terang) sehingga mereka mengetahui sesuatu perkara dengan hakikatnya yang sebenar, lantas mereka memberi manfaat kepada manusia lain. Mereka adalah golongan ilmuan terpilih di kalangan para Sahabat dan yang lain.

Golongan kedua ialah mereka yang mempunyai cara pandang yang baik ( النظر السليم) dan kejadian asal semulajadi. Mereka adalah kebanyakan manusia yang tidak sampai ke tahap kesempurnaan, dan tidak juga turun hingga menjadi terlampau kurang. Mereka adalah golongan manusia pertengahan. Mereka yang ditunjuk oleh ayat والموعظة الحسنة iaitu serulah, ajaklah dengan nasihat yang baik.

Golongan ketiga ialah mereka yang suka berdebat, berlawan dan degil. Mereka ini yang ditunjuk dengan ayat وجادلهم بالتي هي احسن iaitu berpalinglah atau jangan pedulikan apa yang mereka lakukan dengan menyakiti kamu, serta jangan cuai dalam menyampaikan risalah, mesej agama ini dan terus ajak mereka kepada kebenaran. Berdasarkan pendapat ini, setengah ulamak tafsir berkata: Ayat ini dibatalkan dengan ayat pedang atau perang.

Ada juga yang berkata: Tidak perlu mendakwa adanya nasakh kerana perintah berdebat tidak bertentang dengan larangan memerangi mereka.

Allah menyebut ضل عن سبيله iaitu yang sesat dari jalanNya. Dalam bahasa Arab, ayat ini disebut dalam bentuk jumlah fe’liyyah atau kata kerja ‘dolla’ bermakna telah sesat. Mendahulukan fe’liah pada kalimah itu dan ismiah atau kata nama pada al-Muhtadin (orang yang mendapat petunjuk) menunjukkan mereka mengubah fitrah dan menukarnya dengan mengadakan kesesatan dan golongan ini berkekalan di atas kesesatan itu. Ini pendapat seorang ulamak bernama Karkhi.

(Rujukan: Al-Jamal, Al-Futuhat Al-Ilahiyyah, Jilid 4 muka surat 281, 282).

Yang penting ialah tugas mengajak manusia ke jalan Allah tidak boleh berhenti dengan sebab adanya Perintah Kawalan Pergerakan, PKP kerana pelbagai medium boleh digunakan di masa kini. Ayat di atas menjadi panduan asas. Dalami ilmunya melalui bacaan, kajian dan pengajian lain.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 7/5/2020