Setiap hari ADUN agih juadah ke rumah penduduk

PASIR MAS: Hampir setiap hari di mana-mana sahaja boleh dilihat wakil rakyat, agensi kerajaan dan NGO mengagihkan keperluan asas kepada penduduk yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Begitu juga di DUN Tendong, apabila penduduk miskin menerima juadah berbuka puasa setiap hari.

Advertisement

ADUN Tendong Rozi Muhamad berkata, program Skuad Amal Food Asnaf bermula 5 Ramadan lepas bagi membantu golongan asnaf dan penduduk miskin di DUN berkenaan.

Katanya, juadah berbuka seperti lauk pauk yang siap dimasak dan kuih muih dihantar ke tangga rumah penduduk miskin.

“Juadah berbuka puasa sama ada lauk dan kuih ditempah sehari lebih awal dengan pembekal-pembekal di sekitar DUN Tendong.

“Di samping kita membantu penduduk miskin berbuka puasa, Pusat Khidmat DUN juga dapat membantu pengusaha makanan di kawasan berkenaan,” katanya di sini.

Menurutnya juga seramai tiga hingga lima petugas ‘riders’ menghantar juadah tersebut kepada kira-kira 100 penerima setiap hari.- HARAKAHDAILY 7/5/2020