T’ganu tubuh ‘task force’ pulih tanah terbiar

task force

TANAH terbiar merupakan tanah milik perseorangan atau syarikat berkeluasan 1 ekar atau 0.4 hektar ke atas dan terbiar tidak dimajukan selama 3 tahun berturut-turut. Di seluruh Negeri Terengganu terdapat kira-kira 7,862 hektar tanah yang dikategorikan sebagai terbiar.

Satu dari teras bertindak Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 ialah pemulihan tanah-tanah terbiar. DYMM Tuanku semasa perasmian Penggal Ketiga Dewan Undangan Terengganu Ke-14 baru-baru ini telah bertitah agar Kerajaan Negeri mengambil satu tindakan bagi memulihkan tanah-tanah terbiar ini.

Faktor yang menyebabkan kewujudan tanah-tanah terbiar adalah pelbagai. Ianya mungkin disebabkan isu pemilikan tanah, kekurangan infrastruktur, ketiadaan dana, kesesuaian tanaman, faktor-faktor komersial dan sebagainya. Setiap faktor yang menyumbang kepada kewujudan tanah terbiar perlu dianalisa dan dibuat penyelesaian bagi menggerakkan pembangunan tanah terbiar ini agar dapat ditingkatkan keupayaan ekonomi negeri, meningkatkan pendapatan rakyat dan mengukuhkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Negeri bagi mencapai matlamat food security.

Advertisement

Task force yang dipengerusikan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri ini akan dianggotai oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri, UPEN, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pentadbir Tanah Daerah, PBT, IADA KETARA, Lembaga Pertubuhan Peladang, FAMA, TADC dan YB ADUN serta Pegawai Penyelaras DUN.

Antara tugasan task force ialah untuk menyediakan pangkalan data tanah-tanah terbiar, mengenal pasti punca dan faktor, menyediakan ulasan teknikal, mengemukakan pelan tindakan bagi pemulihan termasuk aspek pembangunan, pemasaran, penyertaan pihak swasta dan petani tempatan.

Tindakan bersepadu adalah sangat perlu bagi memastikan tanah-tanah terbiar di Terengganu menjadi tanah yang produktif.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 7/5/2020