37,476 pelajar telah dihantar pulang setakat ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar seramai 37,476 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) pulang ke kampung halaman masing-masing setakat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata seramai 685 pelajar di Zon Selatan dijadualkan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.

“Di Zon Perak, melibatkan 57 buah bas, 6 buah van manakala 53 pelajar di Zon Sabah juga akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Sabah yang melibatkan 3 buah bas dan sebuah van,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sebanyak 85 penerbangan telah dijadualkan melibatkan penghantaran pulang seramai 1,229 pelajar di Semenanjung dan Sarawak.

Sementara itu, Ismail Sabri juga memaklumkan kerajaan akan mengumumkan dalam masa terdekat ini sama ada PKP akan ditamatkan atau tidak selepas mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan kluster pengawal keselamatan, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan supaya kesemua pengawal keselamatan melakukan saringan kesihatan atau ‘swab test’ Covid-19.

“Mesyuarat yang bersidang pada pagi ini telah memutuskan bahawa semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan untuk membuat saringan kesihatan ‘swab test’.

“Oleh kerana pengawal keselamatan terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri jadi kementerian ini akan keluarkan arahan.

“Dari segi keputusan sama ada menutup atau tidak (pasaraya terlibat) Kementerian Kesihatan akan memberikan pandangan mereka dan nasihat mereka,” katanya.- HARAKAHDAILY 8/5/2020