Belasungkawa Al-Marhum TG Dato’ Ismail Kamus

PADA pertengahan Ramadan yang dipenuhi barakah ini, kita disapa dengan takdir yang berat. Kembalinya ke rahmatullah Tuan Guru Dato’ Haji Ismail Kamus.

Advertisement

Kita merasa sedih dan berduka kerana kehilangan tonggak pembimbing yang mengajar kita bagaimana untuk berbekal ke negeri akhirat dengan cara hidup berpandukan syariat.

Bahasa al-Marhum lunak dan mudah difaham, namun maknanya mendalam dan sangat tegas. Menariknya ketegasan beliau diiringi selingan perbandingannya amat mencuit hati.

Contohnya ketika membicarakan konsep keadilan di dalam Islam ~ di mana ia tidaklah satu konsep ‘sama rata’ secara pukul rata seperti fahaman Komunis dan pejuang hak asasi sekular ~ beliau menjelaskan kadang-kadang memang ada hukum berbeza antara lelaki dan perempuan kerana meraikan perbezaan kejadian fitrah masing-masing.

“Jika anak lelaki dan perempuan sama-sama dipakaikan songkok oleh bapanya, itu bukan adil namanya. Itu ‘bangang’ namanya,” ujar beliau dalam beberapa ceramah secara berseloroh.

Sejak tahun 70-an lagi, beliau membimbing kita, anak kita dan cucu kita untuk tidak lupa menyediakan bekal akhirat, tidak lupa untuk menyakini keagungan syariat dan tidak lupa berbuat kebajikan kepada masyarakat.

Ya, sejak penulisan buku kecilnya ‘Fardhu Ain’. Buku kecil yang penuh berkat. Sehinggalah kepada buku-buku beliau mutakhir ini seperti ‘Indahnya Amalan Berdoa’, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ dan ‘Jin: Hakikat dan Pengubatan’.

Beliau ialah ‘seorang daie mewakili seribu’, ‘seorang daie menerangi sejuta’ dan ‘seorang daie yang hampir satu-satunya menggabungkan keunikan penyampaiannya disertai dengan kedalaman ilmunya’.

Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali.

Semoga Tuan Guru Dato’ Haji Ismail Kamus diberikan keampunan oleh Allah SWT jua, diangkat pada kedudukan yang tinggi di sisi-Nya, serta dihujani dengan lautan rahmatNya yang tidak bertepi.

ZAKARIA ISMAIL
Marang
8 Mei 2020 | 15 Ramadan 1441 – HARAKAHDAILY 8/5/2020