Belasungkawa Almarhum Ustaz Ismail Kamus

FIGURA ini seangkatan dengan almarhum Dr Haron Din, almarhum Pak Yazid Jaafar, almarhum Kiai Zainuddin MZ dan sesepuh dakwah fenomenal lain dalam dekad 1980an dan 1990an.

Advertisement

Saat itu zaman tali kaset seterusnya CD yang dijual dipasar-pasar malam dan juga tapak ceramah. Zaman itu aura Ustaz Ismail Kamus dengan lawak khasnya menjadikan kuliah-kuliah agama tumpuan masyarakat.

Tokoh ini dengan adunan bakat yang pelbagai sangat popular di negara ASEAN, juga reputasi beliau dalam perubatan Islam dan juga penglibatan dalam perjuangan Islam.

Figura dakwah yang amat berjasa

Ustaz Dato’ Ismail Kamus dilahirkan pada 2 Disember 1948 di kampung Batang Rening, Ulu Selangor, dalam keluarga yang kuat berpegang dengan ajaran Islam.

Malah seorang adik kandungnya, Ustaz Jais Kamus juga seorang tokoh agama yang dikenali di Selangor. Ustaz Ismail Kamus telah mendapat pendidikan awal formal, bermula di Sekolah
Arab Batang Kali selama enam tahun.

Beliau juga mendapat pendidikan menengah agama di Ma’ahad
Hisyamuddin, Klang. Di Klang anak remaja ini mendapat suntikan semangat untuk me dalami ilmu-ilmu agama secara bertalaqi, antara gurunya ialah seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Ustaz Ismail Kamus seterusnya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang, sebuah institusi pendidikan yang telah melahirkan ramai tokoh pelbagai bidang dinegara ini.

Figura dakwah ini mendapat pendidikan tinggi di UKM Bangi di Fakulti Pengajian Islam.

Beliau menamatkan pengajian dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1976.

Semangat dan cita-cita untuk menambah ilmu sentiasa membara dijiwa tokoh dakwah ini. Beliau juga pernah bermukim ilmu di Beaver College Pennsylvenia, Amerika Syarikat.

Selain dikenali sebagai panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang fenomena, Ustaz Ismail juga adalah Pengasas dan Penasihat Pusat Perubatan Darussalam yang berpusat di Gombak.

Beliau melatih ratusan perawat-perawat Islam serta menyalurkan kepakarannya untuk berkhidmat kepada masyarakat, termasuk di Brunei dan juga Singapura.

Ustaz Ismail selain dikenali sebagai usahawan muslim yang sukses, juga pernah berkhidmat sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai dakwah selain pernah bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam.

Kekayaan pengalaman inilah yang berjaya dituang dalam pengisian ilmu agama kepada masyarakat sehingga nama beliau meniti bibir ke bibir masyarakat.

Pendakwah tersohor ini pernah digam oleh RTM kerana kelantangannya menyuarakan aspirasi Islam, beliau bersama dalam arus kebangkitan rakyat pasca reformasi 1998 sehingga dipilih untuk bertanding di DUN Gombak Setia.

Ustaz Ismail menjadi ADUN PAS di Gombak Setia apabila memenangi dalam Pilihan Raya di kawasan tersebut pada tahun 1999. PAS memenangi empat kerusi di Selangor iaitu Kajang, Sungai Burung, Gombak setia dan Sungai Besar dalam lantunan gelombang reformasi.

Beliau juga pernah bertanding untuk kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam Pilihanraya Umum 2004 namun tewas kepada calon BN. Beliau pernah menjadi AJK Dewan Ulama PAS Pusat, AJK PAS Pusat, TPJ PAS Negeri Selangor, AJK PAS Selangor dan pelbagai jawatan dalam parti.

Reputasinya sebagai seorang pendakwah fenomenal dengan memberi ceramah agama dipelbagai negara seperti di Asia Barat, Eropah, Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan lain-lain. Undangan ini termasuk daripada kalangan ekspatriat dan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara.

Jasa dan sumbangan Ustaz Ismail Kamus begitu besar kepada kita semua dan keharuman bakti ini menebar kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latarbelakang politik ,harkat sosial dan latarbelakang sosio ekonomi.

Dalam bidang kebajikan , bantuan kemanusiaan dan membantu insan lain, beliau adalah Penasihat kepada NGO, Muslim Care Malaysia sehinggalah nafasnya yang terakhir.

Sikap cakna dan peduli ummah serta karektor almarhum yang sentiasa menderma bukan lagi rahsia . Sentiasa bertukar maklumat dan memberikan dokongan kepada Muslim Care Malaysia melalui Presidennya , Haji Zulkifli Wahijan.

Dalam keuzurannya, beliau tidak menolak untuk memberikan pengisian kerohanian dan memberikan ilmu tanpa sepicing pun rasa lelah dan bosan.

Ramadhan kali ini dalam suasana PKP yang suram, rakyat negara ini menerima berita sedih akan keuzuran almarhum. Dalam beberapa tahun ini, Ustaz Ismail menjalani dialisis akibat penyakit buah pinggang,namun dalam jerih kesakitan pun beliau tetap tersenyum dimeja-meja kuliah mencerahkan ummah.

Sehari dua ini bergentayangan dimedsos akan berita beliua kembali kerahmatullah, ini adalah manifestasi cintanya rakyat kepada almarhum sang murabbi.

Malam jumaat Ramadan yang barokah ini, sang daie ini mengadap Penciptanya dengan jutaan doa daripada umat Islam.

Allah memuliakan pendakwah ini yang menunjukkan kepada kita bagaimana detik-detik umur wajib dituangkan seluruhnya dimedan dakwah dan khidmat bakti.

Kita akan merindui candaan dalam kuliah almarhum yang menjentik tangkai hati kita semua untuk menjunjung nilai dan cara hidup Islam.

Pesan -pesan berharga almarhum lewat melalui kaset,rakaman cd, media sosial akan menjadi hasil tuaian pahala berpanjangan kepada almarhum Ustaz Dato Ismail Kamus.

Selamat berehat wahai sang murabbi dan kami juga akan menyusul kelak. Alfatihah!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

( Penulis ialah aktivis kemanusiaan tanpa sempadan, Pengerusi LESTARI)

  • HARAKAHDAILY 8/5/2020