Gelap dan terang

SYEIKH Muhammad Ghazali mengungkapkan satu ucapan lebih kurang begini maksudnya:

Advertisement

“Dahulu umat Islam dipenuhi dengan cahaya, bermaksud petunjuk dan kebenaran di depan mata, tetapi umat Islam tidur. Datang fasa selepas itu umat Barat berada di dalam kegelapan yang bermaksud mereka tidak punyai petunjuk sebenar sebagai panduan, tetapi mereka sedar.”

Maka terjadilah seperti hari ini, Barat yang diselubungi kegelapan itu berusaha dan bekerja keras hingga mereka terkehadapan jauh meninggalkan umat Islam.

Sebab itu tidak boleh berwenangnya untuk kita mengambil semua yang datang dari Barat, tetapi bukan pula menolak kesemuanya.

Untuk menilainya, umat Islam tidak boleh terus berada dalam keadaan tidur, sebaliknya bukalah mata dan sedarlah, kerana petunjuk itu sentiasa bersama kita:

“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab suci al-Quran) adalah sebagai sebuah ‘misykaat’ yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(an-Nur: 35)

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.”

(az-Zumar: 22)

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 8/5/2020