Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 15)

PERBINCANGAN menerusi tadabur juzuk 15 hari ini membincangkan mengenai sikap kebergantungan manusia terhadap Allah apabila sudah tidak menemui jalan untuk menyelamatkan dirinya. Allah S.W.T membawa pengkisahan situasi manusia apabila berada di tengah lautan dan menerima musibah, ketika itu pergantungan kepada Allah menjadi lebih kuat. Lautan juga merupakan pentas pergerakan manusia untuk memperolehi pelbagai manfaat daripadanya. Manfaat ini adalah saluran nikmat Allah kepada manusia untuk menguji tahap pergantungan mereka dengan Allah. Allah ingin melihat sejauhmana jiwa, perasaan dan sanubari terikat kukuh antara hamba dengan pencipta-Nya. Namun, menjadi perangai manusia apabila dalam keadaan getir, Allah yang menjadi tempat kembali sementara apabila sudah beroleh jalan keluar, lantas mereka kufur. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

رَّبُّكُمُ ٱلَّذِی یُزۡجِی لَكُمُ ٱلۡفُلۡكَ فِی ٱلۡبَحۡرِ لِتَبۡتَغُوا۟ مِن فَضۡلِهِۦۤۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا. وَإِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فِی ٱلۡبَحۡرِ ضَلَّ مَن تَدۡعُونَ إِلَّاۤ إِیَّاهُۖ فَلَمَّا نَجَّىٰكُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ أَعۡرَضۡتُمۡۚ وَكَانَ ٱلۡإِنسَـٰنُ كَفُورًا

“Tuhan kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mengasihani kepada kamu. Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (daripada ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain daripada Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingati-Nya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).”

[al-Isra’: 66-67]

Sekiranya kita meneliti ciptaan bumi ini, ianya dikelilingi lautan yang luas terbentang yang menjadi sumber ekonomi umat manusia dan sebagai bukti kekuasaan Allah S.W.T. Oleh itu, lautan menjadi perhatian dan rebutan kuasa besar dunia untuk menguasai dan mengeksploitasi hasil mahsulnya. Demikian itulah Allah menjadikan lautan sebagai tempat ujian dan medan manusia melepaskan keghairahan mereka mendapatkan hasilnya yang lumayan. Sehinggalah apabila mereka mulai senang dan menjadi kaya-raya, ada yang melawan serta mengingkari perintah Allah. Puak seperti ini tidak pernah mahu kembali kepada Allah, bahkan daripada kalangan mereka yang tenggelam dengan kekufuran sehingga Allah memusnahkan kembali tempat yang menjadi lokasi perlindungan mereka atau Allah menghantar semula mereka ke lautan dan menghantar musibah-Nya, ketika itu tiada siapa lagi yang dapat menyelamatkannya kembali. Firman Allah S.W.T:

أَفَأَمِنتُمۡ أَن یَخۡسِفَ بِكُمۡ جَانِبَ ٱلۡبَرِّ أَوۡ یُرۡسِلَ عَلَیۡكُمۡ حَاصِبࣰا ثُمَّ لَا تَجِدُوا۟ لَكُمۡ وَكِیلًا. أَمۡ أَمِنتُمۡ أَن یُعِیدَكُمۡ فِیهِ تَارَةً أُخۡرَىٰ فَیُرۡسِلَ عَلَیۡكُمۡ قَاصِفࣰا مِّنَ ٱلرِّیحِ فَیُغۡرِقَكُم بِمَا كَفَرۡتُمۡ ثُمَّ لَا تَجِدُوا۟ لَكُمۡ عَلَیۡنَا بِهِۦ تَبِیعࣰا

“Adakah kamu (sesudah diselamatkan ke darat) merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau Dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu, kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu? Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Dia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Dia mengaramkan kamu dengan sebab kekufuran kamu, kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela mengenai itu terhadap Kami?”

[al-Isra’: 68-69]

Situasi begini kadang-kadangnya banyak terjadi dalam kehidupan mereka yang bekerja di laut. Umpamanya angin Barat Laut bertiup dengan kencang (bagi nelayan di Kelantan, khususnya di Tumpat) angin Barat Laut sangat ditakuti. Apabila terdengar sahaja guruh, angin mulai bertiup kencang, laut bergelombang dengan kuatnya yang menakutkan pelaut. Dalam kedaan sebegini, sudah pasti semua akan memohon daripada Allah akan pertolongan, di waktu itu tiada kuasa lain yang dapat menyelamatkannya. Setelah pelaut selamat dan berada sahaja di daratan, ada kalangan mereka yang mulai lupa kuasa Allah, lalu mereka kembali kepada tabiat asal termasuk melakukan pelbagai kemungkaran yang dimurkai Allah S.W.T.

Jika kita amati, musibah melalui wabak COVID-19 ini sangat ditakuti seolah-olah manusia berada di tengah lautan yang bergelombang dan pada masa itu manusia hanya mampu berserah kepada Allah mencari perlindungan. Maka ketika wabak sebegini, sangat perlu kita memperbanyakkan istighfar, bersedekah, tilawah al-Quran dengan mengikhlaskannya kepada Allah S.W.T. InsyaAllah, dengan berkat Ramadan, mudahan COVID-19 diangkat serta diganti dengan hayat penuh barakah dan sihat walafiat. Fasa setelah COVID-19 hendaklah dilalui dengan Norma Syarie yang lebih berdisiplin, hidup bertoleransi, mengutamakan kebersihan dan sentiasa meningkat kebergantungan diri kepada Allah S.W.T.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
15 Ramadan 1441 / 08 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 8/5/2020