Jangan sampai kaduk kembali naik junjung

DALAM kita menyaksikan perkembangan kejayaan negara berhadapan dengan ancaman COVID-19 hasil dari kesungguhan serta kecekalan pimpinan negara dan para pegawai serta kakitangan Kerajaan tidak lupa mereka yang di barisan hadapan, masih ada segelintir yang tidak ambil peduli malah lebih terpesona dengan perkara lain.

Malaysia dijulang dunia sebagai salah sebuah negara yang berjaya mengurus dan mengawal pandemik ini dengan baik, tetapi bagi segelintir tadi tumpuan mereka adalah pada isu lain. Mungkin mereka tidak berselera untuk melihat kejayaan Perdana Menteri, Kerajaan dan rakyat Malaysia amnya kerana bagi mereka di sana ada agenda yang lebih besar yang mereka kejar.

Inilah golongan kecewa, mereka yang telah hilang kuasa angkara keterlanjuran dan kegopohan mengurus parti sendiri, sehingga hari tidak dapat mendakap realiti dan terus menongkah arus mahu menyeret robohan mahligai yang telah berkecai hasil tangan sendiri, kononnya untuk dibina semula demi menyelamatkan rakyat dan negara.

Advertisement

Langsung golongan ini tidak sedar bahawa hari ini rakyat sesungguhnya telah selesa dan cukup yakin dengan Kerajaan yang ada, mereka tidak mahu tertipu lagi. Rakyat bersyukur kerana kini bumi dipijak benar-benar milik sendiri. Tiada lagi bagi mereka ancaman dari puak Liberal, Chauvinis, ekstremis, rasis terhadap nasib dan masa depan bangsa dan agama.

Ringkasnya semua tenang dan selesa hari ini, tiba-tiba masih ada yang bernafsu, tidak sedar hendak melangkah kaki pendek hendak mencapai tangan tak sampai.

Sedang kita menumpukan perhatian pada kejayaan negara, mereka melukut di tepi gantang, kononnya mahu mengumpulkan kekuatan politik untuk kembali naik berkuasa setelah kuasa yang ada hilang dari tangan angkara perbuatan sendiri.

PH dahulu menang PRU ke-14 hasil sokongan padu pengundi bukan-Melayu, pengundi Cina sahaja dilaporkan memberi 95 peratus sokongan pada calon-calon mereka. Manakala ketika itu undi Melayu berpecah tiga apabila calon-calon Melayu dari PAS, BN-Umno dan PH bertanding sesama sendiri. Calon-calon PH berjaya meraih undi padu masyarakat bukan-Melayu dicampur kira-kira satu pertiga baki undi Melayu dan ini telah memberikan kemenangan besar pada mereka.

Tetapi itu PRU ke-14 tahun 2018, apabila sentimen rakyat yang terhimpit oleh bebanan kos hidup berjaya dipengaruhi dan dibakar oleh PKR dan DAP khususnya berbekal manifesto janji-janji bulan dan bintang mereka. Kini segalanya telah berubah. Jika dahulu gabungan PH dengan sokongan Parti WARISAN Sabah serta beberapa MP BN yang melompat, berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, hari ini mereka sudah tidak lagi berkuasa.

Pemerintahan 22 bulan PH yang didominasi DAP cukup memberikan pengajaran dan keinsafan buat umat Melayu termasuklah parti-parti Melayu dalam negara. Kemenangan gilang-gemilang PH yang menumbangkan Barisan Nasional (BN) akhirnya bertukar ngeri apabila agenda perjuangan DAP, parti yang dominan dalam PH mula diasak menjadi agenda nasional. Isu ratifikasi ICERD, Statut Rom, sijil UEC, isu pengajian tulisan Jawi, campur tangan dalam urusan pentadbiran Agama dan Raja-raja Melayu, hubungan dengan kakitangan awam meletus hingga mencetuskan kegusaran dan kebimbangan.

Dengan takdir Allah S.W.T Tun Dr Mahathir, PM ke-7 meletak jawatan pada 24 Februari lalu sekali gus meruntuhkan Kerajaan PH. Dalam keadaan ketiadaan Kerajaan setelah PH roboh dan hilang majoriti, Yang Dipertuan Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-8 dengan sokongan BN, PAS, GPS dan parti-parti dari Borneo.

Ia bukan Kerajaan pintu belakang kerana Kerajaan telah tiada setelah Perdana Menteri (PM) PH letak jawatan sebaliknya ia sebuah Kerajaan yang sah kerana dilantik ikut proses Perlembagaan.

Hari ini saki baki PH yang hilang kuasa, iaitu PKR (39 kerusi) DAP (42 kerusi) dan PAN (11) mahu mengumpulkan kekuatan kononnya untuk kembali berkuasa. Banyaklah khabar angin kononnya persidangan Parlimen 18 Mei ini akan digunakan oleh PH untuk mempertikaikan kesahihan Kerajaan PN. Perlukah kita layan dan tunduk pada mereka yang kecewa dan mabuk kuasa ini?

Apa pun akan atau tidak berlaku, diharap rakyat khasnya para pemimpin kita mengambil iktibar dan belajar dari kesilapan kita yang lalu. Jangan lagi mengulangi kesilapan itu sehingga ke peringkat kaduk dapat naik junjung, cacing dapat naik ke mata, akhirnya tergadai maruah agama dan bangsa. Adakah rakyat bersedia menyerahkan kuasa kembali ke PH seolah kita lupa pengalaman 22 bulan bawah mereka?

Sebaliknya dalam usia yang begitu muda PN telah terbukti berjaya lulus ujian apabila ancaman COVID-19 ini berjaya diuruskan dengan baik berbanding negara-negara lain. Kecekapan Kerajaan di bawah pimpinan PM tidak lagi harus dipertikaikan malah inilah masanya untuk kita semua memberikan sokongan dan keyakinan agar lebih banyak lagi pencapaian yang positif dapat melimpah turun kepada rakyat dan negara.

Di atas pencapaian ini dan keyakinan rakyat, para pemimpin negara khususnya pimpinan ummah di Parlimen dari mana parti sekalipun seharusnya mendukung agenda konsolidasi kuasa politik Melayu biar kembali dinobatkan dan bermaruah kepimpinan Melayu Islam dalam negara. Ini bukan masanya untuk berebut kuasa dengan sokongan pihak ketiga, tetapi inilah masanya kita memperakui kelemahan masing-masing.

Sama-sama kita akur dan insaf bahawa kekuatan ummah dapat digembleng dengan syarat kita memartabatkan Islam sebagai panduan dan pedoman kita. Malaysia akan kembali maju dan sejahtera dan rakyatnya bersatu-padu tiada lagi berseteru dan berhasad dengki sesama sendiri apabila kuasa politik dipegang oleh mereka yang bermoral, berakhlak dan bertakwa. Ketika itu semua dapat berpayung dengan aman dan sejahtera.

Demi rakyat dan negara, yang berada di pihak Kerajaan, memerintahlah dengan bersih, adil dan mendahulukan kepentingan negara. Manakala yang berada di bangku pembangkang, menyumbanglah pandangan dan cadangan serta kritikan dengan konstruktif dan profesional.

Biar semua berpijak di bumi yang nyata. Rakyat mahu lihat kebajikan dan masa depan mereka terbela dan buat masa ini mereka cukup yakin bahawa tugas penting itu hanya mampu dipikul dan dilaksanakan PN, maka berilah peluang dan sokongan yang padu.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/5/2020