Kemahiran teknikal, vokasional sains rumah tangga

PKP masa terbaik generasi muda gilap kemahiran

SITUASI pandemik COVID-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 menyebabkan timbulnya keresahan dalam kalangan ibu bapa mengenai bekalan makanan.

Namun, keresahan itu hanyalah bersifat sementara kerana dalam tempoh minggu pertama PKP, media sosial seperti Facebook dan Instagram dibanjiri dengan pelbagai perkongsian resepi dan menu masakan.

Senario itu menunjukkan perkembangan yang sihat kerana ketua keluarga berusaha menyediakan hidangan untuk keluarga masing-masing. Ia juga memperlihatkan bahawa kemahiran vokasional yang paling asas dalam bidang Sains Rumah Tangga (SRT) – kemahiran memasak – merupakan komponen yang sangat penting untuk dikuasai oleh setiap individu.
 
Aktiviti seharian yang melibatkan hands on seperti memasak, menjahit, melipat kain, menggosok dan mengemas rumah merupakan konsep asas kemahiran teknikal dan vokasional bidang SRT. Kemahiran vokasional ini tidak lahir secara semula jadi, bahkan perlu digilap dan dilatih dari usia muda bagi membentuk sikap dan karakter individu.
 
Generasi muda perlu dipersiapkan dengan kemahiran asas vokasional bagi melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan tidak hanya cemerlang dalam aspek intelektual semata-mata.
 
Mereka bakal menjadi unit asas bagi sebuah keluarga. Maka adalah penting untuk mereka menguasai kemahiran asas vokasional bagi membolehkan mereka membentuk institusi keluarga yang harmoni di masa akan datang.
 
Sewaktu PKP, kemahiran asas teknikal dan vokasional ini berlaku secara tidak formal di rumah. PKP merupakan satu tempoh yang sangat berharga untuk ibu bapa manfaatkan masa yang ada dengan sebaik mungkin bersama anak-anak.
 
Ibu bapa perlu bijak dalam merancang dan mengatur aktiviti seharian anak-anak secara maksimum. Selain aktiviti pembelajaran yang berfokus kepada domain kognitif bersama guru, ibu bapa juga perlu menyediakan platform untuk menggilap kemahiran asas vokasional SRT dalam diri anak-anak.
 
Dalam konteks penyediaan makanan, penglibatan anak-anak dalam membantu ibu khususnya dalam menyediakan makanan, menghidang, membasuh pinggan sehinggalah aktiviti mengemas dapur adalah sangat relevan dalam menggilap kemahiran vokasional serta merangsang domain psikomotor anak-anak.

Advertisement

Bahkan aktiviti seumpama itu juga dapat meningkatkan pelbagai kemahiran insaniah dalam diri anak-anak. Sebagai contoh ibu bapa boleh menjalankan aktiviti seperti mendekorasi biskut atau kek bagi mencungkil bakat dan kreativiti dalam kalangan anak-anak. Beri kebebasan kepada anak-anak untuk meneroka dan berimaginasi. Melalui aktiviti memasak, kemahiran koordinasi antara pergerakan tangan dengan pemikiran dapat ditingkatkan.
 
Anak-anak juga akan rasa teruja untuk mengetahui proses yang berlaku semasa memasak. Ini secara tidak langsung menimbulkan rasa ingin tahu, menggalakkan mereka untuk berfikir dan bertanya, serta dapat mewujudkan interaksi dua hala antara ibu bapa dengan anak-anak dan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kasih sayang.
 
Dalam skala makro pula bagi ibu bapa yang sememangnya terlibat secara langsung dalam aktiviti perniagaan, tempoh PKP ini boleh digunakan sebaik mungkin bagi melibatkan anak-anak dalam membantu proses penyediaan makanan.
 
Aktiviti seumpama itu dapat membuka minda dan minat anak-anak untuk menceburi bidang vokasional dan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya di masa depan.
 
Kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk memberi peluang kepada generasi muda meneroka dan menceburi bidang kemahiran sebagai pilihan utama kerjaya adalah penting.
 
Ini menyokong matlamat utama Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV) untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan usahawan berjaya. Bahkan ia dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat yang memandang PLTV sebagai  pengajian kelas kedua.
 
Pembelajaran kemahiran secara tidak formal perlu dipraktikkan secara berterusan bagi membina karakter, sikap dan kemahiran insaniah dalam kalangan generasi muda. Tanpa bantuan dan sokongan ibu bapa, tempoh PKP boleh menjejaskan perkembangan positif dalam diri anak-anak.
 
Bahkan ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada generasi muda khususnya golongan remaja yang banyak menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melayari media sosial Instagram, Facebook, Tik Tok, bermain permainan atas talian dan menonton video. Bagi anak kecil pula, mereka akan mempamerkan tingkah laku agresif bagi menghilangkan rasa terkongkong dan bosan.
 
Keterlibatan anak-anak dalam melaksanakan aktiviti asas vokasional memberi peluang pembelajaran secara tidak formal berlaku di rumah. Ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta meningkatkan kemahiran vokasional melalui penggunaan media sosial secara berfaedah.
 
Justeru, tempoh PKP merupakan fasa terbaik untuk ibu bapa menggilap kemahiran teknikal dan vokasional dalam kalangan generasi muda di samping melahirkan modal insan yang seimbang, berkemahiran dan cemerlang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

DR RAHIMAH JAMALUDDIN
Pakar Pendidikan Sains Rumah Tangga
Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia – HARAKAHDAILY 8/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.