Kluster baharu dikesan di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti satu kluster baharu yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Negeri Sembilan.

Advertisement

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 60 kes positif iaitu 53 bukan warganegara dan 7 adalah warganegara Malaysia.

“Seperti yang dimaklumkan pada 2 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti satu kluster yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

“Kluster ini mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang itu didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April 2020.

“Beliau telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian Covid-19 telah dijalankan pada 10 April. Pada 12 April keputusan ujian pengesanan Covid-19 disahkan positif,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan tersebut telah dijalankan.

“Sehingga hari ini, seramai 786 orang telah disaring untuk Covid-19, mereka terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

“Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan.

“Kes-kes kluster ini melibatkan 53 bukan warganegara iaitu 25 kes warga Nepal, 18 kes warga Bangladesh, lapan kes warga Indonesia, dan dua kes warga Myanmar, punca kes ini masih di dalam siasatan” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2020