KM Melaka edar ayam percuma

Ketua Menteri Melaka, Dato' Sulaiman Md Ali (Bersongkok) turun padang mengagihkan ayam percuma kepada rakyat di Pantai Kundur. Turut hadir sama Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin (Berkopiah) di sini hari ini.

TANGGA BATU: Ketua Menteri Melaka, Dato’ Sulaiman Md Ali turun padang bersama-sama dengan rakyat dalam satu program edaran ayam percuma yang diadakan di Taman Tangga Batu di sini pagi tadi.

Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Dato’ Norazman Hasan itu turut dihadiri oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin.

Sebanyak 700 ekor ayam telah diedarkan secara percuma kepada penduduk sekitar DUN Pantai Kundur di dalam program tersebut.

Advertisement

Sulaiman berkata beliau sangat teruja dengan semangat Muafakat Nasional (MN) yang ditunjukkan di Pantai Kundur ini dengan kehadiran PAS membantu program tersebut.

“Saya berdoa sempena ‘saiyidul ayyam’ (penghulu segala hari) hari Jumaat ini, semoga program ini mendapat keberkatan dari Allah.” ujar beliau.

Sementara itu, Bakri Jamaluddin yang juga merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tangga Batu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Norazman atas jemputan kepada pihak PAS untuk bersama-sama membantu program ini.

“Kita juga mengucapkan jutaan terima dan berasa kagum atas kesudian Ketua Menteri Melaka sama-sama hadir turun padang dalam cuaca yang panas di bulan Ramadan ini untuk bersama merasa denyutan nadi rakyat.

“Kita di pihak PAS turut menghantar petugas dari MTD Pantai Kundur untuk sama-sama membantu ADUN Pantai Kundur melaksanakan program ini.” ujar beliau seusai program tersebut.

Program tersebut yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 10 pagi.- HARAKAHDAILY 8/5/2020