Pembukaan Andalus dan keruntuhannya

MUQADDIMAH

(1) Saya pernah mengarang buku yang bertajuk Embun Padang Pasir: 130 Sejarah Islam di Bulan Ramadan. Sepanjang Ramadan sarat dengan sejarah dan liku-liku susah payah perjuangan Islam.

Dalam banyak sejarah itu, antara yang menjadi kenangan yang tertulis dalam buku sejarah Islam ialah penaklukan Andalus, oleh tentera Islam di zaman Bani Umayyah, yang dipimpin oleh Thariq bin Ziad.

(2) Ketenteraan Islam pada zaman Saidina Abu Bakar membuka kota-kota di arah Utara Madinah, iaitu Iraq sehinggalah menjatuhkan Parsi pada Ramadan 633 Masihi ketika itu di bawah kuasa Parsi.

Setelah itu, bertukar kepada Khilafah Saidina Umar, Islam masuk ke Syria, dan seterusnya membebaskan Palestin pada Ramadan 636 ketika itu pemerintahan di bawah kuasa Rom.

Advertisement

(3) Pada zaman Saidina Umar juga Islam telah tersebar ke arah Barat Madinah, iaitu memasuki ke Mesir di bawah pimpinan Saidina Amru al Ash antara 641 hingga 644.

Mesir ketika itu merupakan paksi utama empayar Rom di Afrika Utara. Bukan sekadar Mesir, bahkan menguasai keseluruhan Utara Afrika sehinggalah ke Marocco di sepanjang persisiran pantai Mediterranean pada 705.

(4) Ketika Islam yang dipimpin oleh Musa Nusair menguasai persisiran Mediterranean, Islam turut menguasai Barbar. Setelah itu, Musa Nusair melantik Panglima Barbar, Tariq bin Ziyad sebagai Gabenor di Tanjah.

Tanjah (Tangier) merupakan pelabuhan terpenting yang asalnya dikuasai oleh Kristian Eropah sehingga 709 Masihi. Begitu juga dengan pelabuhan Cueta (Sabath). [Gambar 1]

Permulaan penaklukan

(1) Pelabuhan Cueta sebelum dibebaskan, terlebih dahulu Tariq bin Ziyad menakluk Pulau Balyar yang terletak berhampiran dengan selat antara Andalus dan Tanjah (Selat Gibraltar).

Cueta ketika itu masih lagi dikuasai oleh Rodheric penguasa Andalus. Tariq bin Ziyad cuba berunding dengan Cueta untuk bebas tanpa perang. Cueta ketika itu dipimpin oleh Julian.

(2) Julian sebenarnya sudah lama menyimpan dendam dengan Rodheric. Justeru, bersempena kehadiran Tariq bin Ziyad ini, beliau telah berpaling tadah dan mengadakan rundingan dengan Tariq.

Hal ini memudahkan lagi gerak kerja beliau untuk membuat persiapan menyerang Andalus. Tariq bin Ziyad menyuarakan rancangannya itu kepada Musa Nusair dan disampaikan kepada Khalifah.

(3) Dengan keizinan Khalifah, dan hasil perbincangan dengan Musa bin Nusair, maka bermulalah operasi pembukaan Kota Andalus ini pada Ramadan 91 Hijrah.

Ia bermula dengan kepimpinan Tarif bin Malik mendarat di sebuah pulau yang hari ini dikenali sebagai Pulau Tarif di selat itu. Peranan beliau adalah menyampaikan maklumat kepada Musa Nusair mengenai geopolitik Andalus.

(4) Selepas setahun, pada Sya’ban 92 Hijrah operasi yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad mula memasuki Andalus melalui kawasan lereng bukit yang hari ini dinamakan Gibraltar (Jabal Tariq).

Kumpulan pertama seramai 7,000 orang, dan kumpulan kedua seramai 5,000 orang menjadikan jumlah tentera mereka seramai 12,000 orang tak termasuk tentera Tarif 500 orang.

Kemenangan Islam

(1) Sebagai tindak balas terhadap kemaraan Tariq, Rodheric menghantar 100,000 tentera berkuda dan bertembung dengan tentera Islam di Rio Barbate pada 28 Ramadan 92 Hijrah sehinggalah 5 Syawal.

Perang yang terjadi lebih seminggu itu, menyaksikan kekalahan Kristian Eropah dan Rodheric mati dibunuh. Kemenangan ini menjadikan Islam bertapak di situ selama 800 tahun.

(2) Bani Umayyah digulingkan dan digantikan oleh Bani Abbasiah pada 750. Walaupun Bani Abbasiah sudah memerintah di pusat (Baghdad) namun Kota Andalus masih di bawah Umayyah.

Namun, kegemilangannya tak berkekalan apabila kekuasaan dan pengaruh yang ada menjadikan pemerintahan Islam di Andalus mula bibit-bibit perpecahan dan percakaran.

(3) Sebelum kejatuhan Umayyah di pusat, sudah berlaku perselisihan sesama Umat Islam. Khususnya perselisihan antara pemerintah Andalus dan pemerintahan pusat di Damsyik.

Masing-masing mengaku berhak ke atas tanah Andalus. Perselisihan antara bangsa dan etnik pula semakin subur disebabkan tidak mendapat kepentingan kepentingan tertentu.

(4) Krisis ini lebih parah apabila Umayyah di pusat dijatuhkan dan digantikan dengan Abbasiah. Abd Rahman ad-Dakhil yang merupakan pemerintah Andalus berasal daripada Umayyah.

Beliau mula menggunakan nama Amir, dan pemerintahannya diisytiharkan berasingan daripada pusat. Akhirnya beliau diburu oleh Bani Abbasiah, tetapi masih selamat.

Krisis dalaman dan kejatuhan

(1) Khilafah Abbasiah juga tak terlepas daripada krisis dalaman. Sejak hujung zaman al Muktafi (808-908) sebagai khalifah khususnya, dan belarutan sehingga zaman al Muktadir (895-932).

Ketika ini Andalus diperintah oleh Abdul Rahman III. Pada 932, Khalifah al Muktadir mati dibunuh, dan Abdul Rahman III mula menggunakan nama khalifah sebagai tanda peralihan paksi kuasa.

Apatah lagi ketika ini kemunculan Andalus sebagai tamadun yang hebat mampu bersaing dengan Baghdad (pusat) yang dikuasai oleh Abbasiah. Namun, ia juga tidak bertahan lama.

(2) Pada awal 1000 Masihi, pemerintahan Andalus semakin merosot sekali lagi. Ketika inilah munculnya usaha-usaha Kristian untuk merampas kembali Andalus daripada tangan Islam.

Tambahan pula selepas era Abdul Rahman III berlakunya perebutan takhta. Masing-masing mengejar kepentingan pengaruh politik. Hal ini menyebabkan lemahnya Wilayah Granada.

(3) Kekacauan dan perselisihan di kalangan rakyat berlaku disebabkan perbezaan entik dan latar belakang. Sejak 1013, munculnya istilah Muluk at Tawaif yang membakar lagi perpecahan sesama bangsa.

Muluk at-Tawaif tahun 1080 [Gambar 2] dan tahun 1031 [Gambar 3] menggambarkan Umat Islam sudah bosan untuk duduk di bawah satu payung. Setiap bangsa menyeru ke arah Asobiyyah bangsa dan asal-usulnya.

(4) Pemerintahan Andalus yang satu itu terpecah menjadi 22 hingga 30 raja. Sesama puak bergaduh dan berperang sesama sendiri. Sehinggakan ada yang membayar Kristian untuk menentang puak yang lain.

Antaranya persengketaan antara Muwahhidun dan Murabitun, bunuh membunuh, racun meracun. Antara yang mati diracun akibat sengketa ini ialah Ibn Bajjah, ahli falsafah Islam.

Kejatuhan dan pengajaran

(1) Dalam situasi perpecahan di antara puak-puak itu, wujudnya Daulah Murabithun (1086-1145) yang dilihat mendominasi (berpengaruh). Di sinilah munculnya nama Yusuf Tashfin.

Kemudian Daulah Muwahhidun (1146-1235) pula mendominasi. Persengketaan yang membazir masa ini hakikatnya didasari dengan taksub kepuakan, masing-masing merasa betul.

(2) Daulah Muwahhidun menjadikan Bandar Seville sebagai paksi kuasa pada 1170. Persengketaan sesama Ummat Islam ini akhirnya diambil kesempatan oleh orang-orang Kristian.

Umat Islam bukan sahaja berpecah, akan tetapi berpakat dengan Kristian untuk berperang sesama sendiri. Realiti ini menyebabkan Daulah Muwahhidun juga semakin merosot dan akhirnya jatuh pada 1235.

(3) Pada 1236 jatuhlah Cordova di bawah tangan Kristian, dan pada 1248 bandar utama pemerintahan Daulah Muwahhidun, iaitu Seville turut tumbang diserang Kristian.

Ketika ini Umat Islam cuma berbaki satu sahaja negeri yang dipertahankan, iaitu Granada. Kubu-kubu Umat Islam terus diasak oleh Kristian yang dipimpin oleh Ferdinend III.

(4) Pada 1246 pimpinan Muwahhidun berjaya berunding dengan Ferdinand III dan wilayah itu kembali sejuk sementara. Namun tidak bertahan lama apabila wujudnya perebutan takhta.

Situasi ini berlarutan sehinggalah hampir ke penghujung era 14-an apabila Ferdinand V berkahwin dengan Isabella. Ini menandakan kesatuan Kristian. Lantas menyerang Andalus sehingga runtuh pada 1492.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 8/5/2020