Pergerakan rentas negeri hanya sehala

KUALA LUMPUR: Perjalanan merentas negeri bagi mereka yang terkandas di kampung dan hendak balik ke rumah telah bermula sejak semalam sehingga Ahad ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perjalanan merentas negeri yang dibenarkan hanyalah sehala dan bagi mereka yang mempunyai kebenaran menerusi permohonan di aplikasi Gerak Malaysia dan melalui permohonan secara manual.

“PDRM semalam telah memberi kebenaran kepada 26,181 pemohon yang membuat permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 6,304 kebenaran pulang melalui borang secara manual.

Advertisement

“Kita mendapat laporan bahawa pergerakan merentas negeri semalam berjalan lancar. Ramai pengguna jalan raya dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya, hari ini sebanyak 70,538 kebenaran pergerakan rentas negeri diberikan melibatkan negeri Perak, Johor dan Kelantan.

Manakala, esok sebanyak 54,151 kebenaran telah dikeluarkan melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.

“Pada 10 Mei (Ahad) pula sebanyak 77,836 kebenaran melibatkan negeri Selangor, Negeri Sembailan dan Terengganu,” ujarnya.

Bagaimanapun, mereka yang terlibat tidak dibenarkan melencong dari destinasi dan tidak dibenarkan singgah di mana-mana selain kawasan Rawat dan Rehat (R&R).

Selain itu, katanya kebenaran merentas negeri juga diberikan kepada individu atas tujuan bekerja dengan syarat mempunyai surat pelepasan daripada majikan atau ketua jabatan masing-masing.

Tambah Ismail Sabri lagi, selepas tempoh pengecualian ini, pelepasan hanya diberikan untuk tujuan kecemasan seperti kematian keluarga dengan kebenaran pihak polis dan selain daripada itu adalah tidak dibenarkan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, setakat ini sekatan jalan raya bagi merentas negeri masih dikekalkan seperti Perintah Kawalan Pergerakan 1, 2 dan 3.- HARAKAHDAILY 8/5/2020