Umat kehilangan Tuan Guru kami – Dr Khairuddin Takiri

SEBAIK mendengar perkhabaran Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, hati segera terdetik untuk melawat beliau. Sebaik berakhir Mesyuarat Jemaah Menteri tengahari Rabu (6 Mei), saya terus sahaja bergegas ke sana di Wad ICU.

Tuan Guru diberikan ubat penenang separa tidur. Tiada bicara dan interaksi antara kami. Hanya bisikan yang mampu saya lontarkan ke telinga beliau memaklumkan kehadiran dan mendoakan kesembuhan. Keadaan kesihatannya memang kritikal sebagaimana makluman anak beliau Ustaz Firdaus yang turut mengiringi saya. Ustaz Rozali Azhari, bekas Pengerusi pertama Darussalam yang juga bersama saya menangis sebak melihat keadaan Tuan Guru. Kami berdua merupakan 13 anak murid awal Tuan Guru dalam perubatan Islam ketika menubuhkan Pusat Perubatan Darussalam pada tahun 2003.

Masih terngiang segala gurau senda beliau bersama kami beserta kata-kata nasihat yang selalu dititipkan. Kali terakhir bertemu beliau di Airport Terengganu penghujung tahun lepas ketika beliau turun menghadiri kenduri rakan beliau meskipun dalam keadaan uzur juga berkerusi roda. Jemputan beliau untuk saya menghadiri program besar Darussalam tahun lepas tak dapat saya penuhi kerana kekangan masa.

Advertisement

Pagi ini mendapat perkhabaran pemergian beliau pada pagi Jumaat yang mulia dan di bulan Ramadhan yang diberkati. Betapa bersyukurnya saya kerana sempat melawat beliau sebelum beliau pergi mengadap Ilahi.

Alhamdulillah juga, sempat menghadiri solat Janazah beliau dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Ramai yang hadir dan beratur menunggu giliran solat Janazah berjamaah di Masjid Sobirin AU4 Keramat. Para ustaz yang menjadi anak murid langsung beliau ramai yang hadir.

Saya bertuah dapat sampai agak awal dan diberikan ruang berada di saf kedua yang diperuntukkan untuk ahli keluarga. Turut bersama YB Dato’ Tuan Ibrahim, Menteri Alam Sekitar dan Air dan YB Dato Rashid Hasnon, Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Pusingan pertama solat Janazah di imamkan oleh adik beliau, Ustaz Jais, manakala pusingan kedua di imamkan oleh Dato Tuan Ibrahim. Tahniah pada yang hadir kerana berjaya mengekalkan SOP penjarakan sosial. Pihak polis dan Jabatan Amal sangat cekap bertugas memperingatkan orang ramai tentang penjarakan sosial sepanjang PKPB.

Pastinya umat merasakan kehilangan besar negara dengan pemergian tokoh ulamak yang diminati ramai ini khususnya di kaca TV menerusi program Forum Perdana Hal Ehwal Islam bergandingan dengan Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din dan Tuan Guru Dato Tuan Ibrahim. Kaset ceramah beliau bertebaran di seluruh negara. Jasanya sebagai orang politik iaitu ADUN Gombak pada 1999-2004 pasti dikenang rakyat.

Damailah guruku di alam sana dengan pahala pengajaran dan penyebaran ilmu yang pastinya berpanjangan. Pastinya ramai mendoakan kesejahteraanmu wahai guru. Kami nanti juga menjejakimu, juga dengan harapan pahala berpanjangan menerusi sebaran ilmu. Moga ia juga menjadi jariah buatmu yang mendidik diriku.

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه

DATO’ DR KHAIRUDDIN AMAN RAZALI – HARAKAHDAILY 8/5/2020