Al-Quran menggasak akal supaya berfikir

quran

TAK semua diceritakan

(1) Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar. Al-Quran tidak menceritakan sejarah-sejarah terdahulu dengan begitu detail atau terperinci. Kerana ada hikmahnya yang hebat.

Advertisement

Begitu juga kisah para Rasul, tak semua para Rasul diceritakan kisahnya. Allah S.W.T berfirman;

وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ

“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.”

(an-Nisa: 164)

(2) Apa hikmah mengapa tidak semua kisah disebutkan di dalam al-Quran? Antaranya ialah al-Quran diturunkan untuk mengambil pengajaran daripada kisah terdahulu.

Bukan untuk diperselisihkan fakta sejarahnya, sepertimana yang terjadi pada hari ini. Hal ini diterangkan oleh Allah S.W.T bagaimana orang-orang dahulu berselisih tentang fakta;

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا

“(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka”; dan setengahnya pula berkata: “Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).”

(al-Kahfi: 22)

Jangan buang masa berselisih

(1) Ayat 22 surah al-Kahfi menggambarkan bahawa fakta mengenai bilangan Ashabul Kahfi diperselisihkan, dan Allah S.W.T berfirman:

قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka….””

(2) Imam Ibn Kathir menafsirkan petikan ini dengan mengatakan;

إرشاد إلى أن الأحسن في مثل هذا المقام رد العلم إلى الله تعالى ؛ إذ لا احتياج إلى الخوض في مثل ذلك بلا علم ، لكن إذا أطلعنا على أمر قلنا به ، وإلا وقفنا حيث وقفنا

“Petunjuk bahawa yang terbaik dalam tahap ini ialah mengembalikan (serah) ilmu itu kepada Allah S.W.T. Tiada keperluan untuk mendalami situasi seperti ini tanpa ilmu. Akan tetapi apabila kita mengkaji terhadap sesuatu, kita akan katakan dengannya (kemukakan kajian). Sekiranya tidak, kita akan berhenti di mana kita berhenti.”

(3) Di sini kita fahami bahawa terpulang kepada sesiapa sahaja untuk mengkaji apa-apa fakta sejarah secara detail, tetapi tak perlulah membuang masa untuk bercakaran.

Iaitu membuang masa bergaduh disebabkan berselisih fakta sejarah. Sekiranya bercanggah dengan al-Quran, barulah wajar ditolak. Contoh teori Darwin yang bercanggah dengan ayat 1 surah an-Nisa.

Darwin berteori bahawa manusia itu daripada beruk. Ia berkaitan dengan sejarah asal-usul manusia yang hangat diperdebatkan sejak zaman Falsafah Yunani lagi

Jangan hilang fokus

(1) Allah S.W.T cuba menggambarkan kepada kita supaya kita jangan hilang fokus dalam mengambil ibrah daripada sejarah-sejarah terdahulu. Keruntuhan tamadun-tamadun terdahulu perlu diambil pengajaran.

Bukannya dijadikan perdebatan yang perlu digaduhkan. Ini kerana kesatuan Islam atas dasar prinsip itu lebih penting daripada fakta sejarah yang diperselisihkan.

(2) Sebab itu dalam Islam, ada prinsip ثوابت dan adanya anjal متغيرات yang boleh berubah ubah dan diperselisihkan. Dalam akidah pun ada perkara furu’ yang diperselisihkan.

Dalam feqah juga ada prinsip dan ada furu’nya. Contoh kewajipan solat itu adalah prinsip, manakala qunut atau jari ketika tahiyyat itu adalah perkara yang diperselisihkan (furu’).

(3) Umat Islam hari ini sering menjadi mangsa bakaran sektarian mazhab apabila bergaduh bab furu’. Perkara yang diperselisihkan tak perlu sampai buang masa bergaduh.

Bahkan perkara-perkara yang diperselisihkan dalam bab prinsip pula, bukan semuanya boleh dihukumkan kafir. Sebab al-Quran diturunkan bukan untuk pecahkan belahkan manusia.

(4) Al-Quran diturunkan untuk merangsang akal supaya berfikir, dan tidak terjumud dalam satu satu perkara. Sebab itulah pengajaran kisah-kisah terdahulu disebut di dalam al-Quran secara umum.

Supaya pengajaran kisah-kisahnya boleh diberi fokus. Iaitu merangsang akal supaya berfikir dan memberi fokus kepada pengajaran pengajarannya, supaya manusia itu tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Merangsang akal untuk berhujah

(1) Al-Quran juga diturunkan supaya dijadikan panduan hujah melalui rangsangan berfikir. Sebab itu di dalam al-Quran ada menceritakan bandingan, lontaran soalan dan sebagainya.

Contohnya;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) mengenai kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

(al-Hajj: 5)

(2) Ayat ini jelas menggasak akal supaya berfikir. Iaitu bagi mereka yang merasa ragu-ragu bagaimana manusia yang sudah mati akan dibangkitkan semula di akhirat.

Jadi, mereka yang ragu-ragu bolehlah mendalami dan mengkaji bagaimana manusia itu boleh wujud daripada tiada kepada ada. Kalau manusia boleh ada, pastinya hidup selepas mati itu lebih mudah bagi Allah S.W.T.

Merangsang supaya berfikir

(1) Agak sengal kalau al-Quran suruh berfikir, tetapi ada orang-orang Islam menyuruh supaya jangan berfikir, dan ikut sahaja fatwa gurunya dalam keadaan mata terpejam.

Kalau manusia itu suruh ikut sahaja ajaran gurunya tanpa berfikir, maka apa gunanya akal yang diberikan oleh Allah S.W.T? Pendidikan dan pengajaran tujuannya untuk merangsang otak supaya berfikir, bukan untuk terbeku.

(2) Sebab itulah yang penting dalam pendidikan dan pengajaran adalah ‘manhaj’, bukannya taksub pada batang tubuh. Manhaj inilah yang gagal difahami menyebabkan manusia itu bergaduh.

Contohnya ilmu Usul Fiqh yang mula diperkenalkan oleh Imam Syafie (kitab ar Risalah) adalah manhaj menyatukan perselisihan hukum yang banyak sejak zaman Sahabat R.A.

(3) Para Ulamak Mazhab menurunkan ‘manhaj’ kepada anak-anak muridnya sepanjang zaman. Bukannya menurunkan ‘pengaruh’ dan ketaksuban. Sebab itulah mazhab-mazhab boleh hidup sampai ke hari ini

Contoh dalam bab perselisihan martabat hadis, sudah banyak dijernihkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya. Antaranya dengan mengemukakan istilah ‘Hassan’.

(4) ‘Manhaj’ inilah yang dipanggil sebagai pemikiran. Kalau zaman dahulu, seseorang itu dikagumi dengan ketajaman pemikirannya. Bukannya dengan kepetahan menggoreng.

Contohnya di dalam aqidah, setiap orang wajib mengetahui dalil (hujah) untuk menyelamatkan diri daripada terus bertaklid (mengikut). Untuk mengetahui hujah bukan hanya dengan menghafal, perlu kepada berfikir.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/5/2020