‘ATM beras’ bantu penduduk

SUNGAI PETANI: 60,000 penduduk dijangka bakal menerima manfaat dari Mesin Beras Automatik atau ‘ATM beras’ yang dibangunkan khas untuk membantu penduduk yang kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan asas itu.

Advertisement

Inisiatif tersebut digerakkan untuk membantu penduduk yang berdepan dengan kesukaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

ATM beras tersebut diserahkan kepada tiga pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pantai Merdeka, Tanjung Dawai dan Kuala Ketil dan Pusat Khidmat Parlimen Merbok.

Menurut Pengasas Murthada Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakob Yusra, ATM beras juga mampu dijadikan penyelesaian kepada masalah pembayaran fidyah selain membantu penduduk setempat.

“Ia diilhamkan daripada mesin pengeluaran wang (ATM) yang dapat dijadikan inisiatif untuk membantu asnaf-asnaf di lokasi ATM beras ditempatkan,” katanya di sini semalam.

Dalam majlis penyerahan, ketiga-tiga wakil Adun iaitu, Ahmad Fadzli Hashim (ADUN Pantai Merdeka) Hanif Ghazali (ADUN Tanjung Dawai) dan Mejar (B) Mansor Zakaria (ADUN Kuala Ketil) menerima baik usaha tersebut serta turut serta didalam majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan MADAD.

Turut hadir dalam majlis sama, Yang Dipertua PAS kawasan Merbok Azizan Hamzah, Setiausaha PAS kawasan Sungai Petani, Saifulazli Ahmad serta Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS kawasan Sungai Petani, Mohd Haikal Abdul Mutalib.- HARAKAHDAILY 9/5/2020