Generasi pewaris kejahilan umat terdahulu

TAKLID yang menyesatkan

Advertisement

(1) Allah S.W.T berfirman menceritakan mengenai taklid golongan terdahulu;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun mengenai perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”

(al-Baqarah: 170)

(2) Allah S.W.T menggambarkan bagaimana Islam itu terhalang disebabkan taklid. Bangsa-bangsa terdahulu dimusnahkan disebabkan mereka mempertahankan taklid mereka, dan enggan berfikir.

Allah S.W.T menurunkan al-Quran dan mengutuskan para Nabi supaya, supaya menjana akal-akal mereka supaya berfikir dan tidak terbeku dengan ideologi-ideologi sesat yang diwarisi turun temurun.

(3) Generasi terdahulu yang telah sesat itu dijawab dengan persoalan ‘patutkah generasi hari ini mengikut kepercayaan orang dahulu yang tidak faham pun mengenai agama’.

Al-Quran cuba menggasak akal manusia supaya berfikir. Tidak hanya terikut-ikut dengan orang dulu yang belum tentu betul. Dengan gasakan ini akan menampakkan kepada kebenaran.

Ketahuilah, al-Quran yang betul takkan bercanggah dengan akal yang betul. Akan tetapi akan wujudnya percanggah sekiranya agama itu dihuraikan cara salah, ataupun akal berfikir cara salah.

Kemusnahan bangsa terdahulu

(1) Antara yang dizahirkan di dalam al-Quran ialah bagaimana Allah menceritakan kemusnahan bangsa-bangsa terdahulu. Menggambarkan Allah itu berkuasa.

Fikirkan, andai bangsa-bangsa terdahulu memang ada kuasa dalam keadaan melakukan kemungkaran, sudah pasti tamadun mereka berkekalan hingga ke hari ini.

(2) Mereka yang dimusnahkan itu meninggalkan kesan yang jelas. Bandar Thamud masih lagi berdiri megah. Piramid masih lagi tidak berganjak. Bandar Iram masih wujud di bawah timbunan pasir.

Ada tamadun yang tidak kelihatan lagi, namun apabila dikaji dengan teliti akan bertemu dengan fakta kegemilangannya. Semua ini adalah contoh bagaimana Allah S.W.T menyuruh manusia yang keras kepala supaya berfikir.

(3) Allah S.W.T berfirman;

قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).”

Disebabkan taklid, generasi terdahulu taksub terhadap kepercayaan orang tua mereka. Apabila dihamparkan hujah, mereka tak mampu jawab melainkan hanya menutup telinga.

(4) Gambaran ini diceritakan di dalam al-Quran supaya generasi hari ini mengambil pengajaran. Pengajaran supaya generasi hari ini berfikir dan buka mata, serta jangan terikut dengan orang dahulu yang tak betul.

Pengajaran buat generasi hari ini supaya mengambil pengajaran bahawa generasi terdahulu tidak mahu berfikir, tidak mahu berhujah, dan lebih gemar mengikut sahaja kebodohan orang sebelumnya.

Ketaksuban kaum Nabi Nuh A.S

(1) Antara bentuk ketaksuban generasi terdahulu, apabila hilangnya guru mereka, mereka akan jadi sesat. Tersesat disebabkan tidak cuba memahami apa ajaran gurunya. Hanya memuja batang tubuh gurunya sahaja.

Mereka hanya lebih selesa mengikut. Akhirnya bila hilang ikutannya, mereka mula mereka-reka jalan baru. Hal ini pernah terjadi kepada generasi sebelum Nabi Nuh A.S.

(2) Allah S.W.T berfirman;

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: ‘Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.”

(Nuh: 23)

(3) Patung-patung yang diceritakan dalam ayat 23 surah Nuh ini asalnya adalah 4 orang individu yang soleh. Namun, disebabkan ketaksuban pengikut mereka, apabila 4 orang ini mati, mereka membangunkan tugu peringatan.

Tujuan mereka adalah supaya mereka sentiasa mengingati guru mereka. Sedangkan mereka sepatutnya meneruskan legasi pemikiran guru mereka, bukannya memuja batang tubuh gurunya.

(4) Mereka menyembah atas dasar cintakan guru mereka, meratapi kehilangannya dan sebagainya. Tetapi mereka tidak mewarisi ilmu dan tidak mengkaji pemikiran guru mereka yang soleh itu.

Inilah yang dimaksudkan dengan taksub dan taklid. Taklid membuahkan taksub. Sebab itulah Islam menyuruh supaya umatnya berfikir dengan betul. Bukan semata-mata mengikut.

Yang dipotretkan ialah pemikiran

(1) Apabila kita meneliti dalam sejarah Islam, kita tidak temui potret para Sahabat Nabi, atau para ulamak terdahulu melainkan hanya sedikit sahaja. Itupun ilmuan di era Khilafah Abbasiah dan selepasnya.

Sebaliknya, kalau orang-orang terdahulu, apabila mereka kehilangan tokoh yang mereka kasihi, mereka akan mempotretkan wajah tokoh itu. Atau ‘mempatung’kan mereka.

(2) Imam Mazhab, ahli falsafah, muhaddith dan mujtahid itu dikenali dan diingati melalui karya-karya mereka yang hebat, yang melangkaui zaman. Bukan dengan rupa paras mereka.

Mereka itu dikenali dengan nama dan tulisan mereka. Sebab itulah lahir ramai ilmuan daripada pemikiran (manhaj) mereka di serata dunia, dan dikenali sejak zaman berzaman.

(3) Kita perlu sedar bahawa seseorang itu dikenang dengan ketajaman pemikirannya, bukan dikenang dengan batang tubuhnya. Sebab itulah kita hari ini tidak dituntut untuk mengenali rupa paras ulamak terdahulu.

Kerana, yang penting adalah legasi pemikiran yang diwarisi. Bukannya rupa paras. Walau siapa pun namanya, atau asal-usulnya, yang dikagumi hari ini adalah karya-karya mereka yang hebat.

(4) Bahkan perselisihan antara fuqaha’ dan muhaddith terdahulu dapat diurus dengan baik sekiranya ia tidak didahului dengan taksub dan taklid yang menyebabkan percakaran mazhab.

Namun hari ini mazhab-mazhab itu dibayangi dengan elemen taksub dan taklid buta, menyebabkan Umat Islam bercakaran dan bergaduh atas nama mazhab.

Taklid yang tidak mewarisi ilmu

(1) Apabila kita mengkaji realiti agama Kristian, mereka memuja patung Jesus, dan palang tempat Jesus itu disalib. Sedangkan yang sepatutnya dikaji dan diteliti ialah ajaran Nabi Isa A.S itu.

Kita juga sedar bahawa era selepas Nabi Isa A.S, sarat dengan fenomena taklid dan taksub. Generasi zaman kegelapan ketika itu hanya bertaklid apa yang digariskan oleh paderi mereka tanpa mengetahui hakikat sebenar ajaran Nabi Isa A.S.

(2) Masyarakat di era kegelapan tidak dibenarkan berfikir mengatasi ahli-ahli teologi Kristian. Tiada ruang untuk berhujah. Sebaliknya dipaksa mengikut ketetapan gereja.

Sebab itulah kita akan lihat dengan jelas potret-potret paderi atau cendekiawan mereka di dinding gereja atau dimuziumkan. Realiti ini boleh disaksikan sehingga ke hari ini.

(3) Greece satu ketika dahulu terkenal dengan cedekiawan yang hebat-hebat. Namun, pemikiran tokoh ilmuan mereka berkubur begitu sahaja dan tak diteruskan oleh generasi Greece pada hari ini.

Mereka cuma kenal tokoh ilmuan itu melalui patung-patungnya, bukan dengan meneruskan legasi pemikiran itu. Sebab itulah Greece hari ini tidak lagi menjadi kegemilangan seperti dahulunya.

(4) Kita perlu sedar bahawa setiap orang itu akan mati. Tinggi mana pun ilmunya, tetap akan mati. Namun, yang menjadikan mereka itu sentiasa ‘hidup’ ialah ilmu dan karya mereka.

Ini kerana ilmu dan karya mereka itu membayangkan manhaj pemikiran mereka. Sebab itulah era kegemilangan Islam, dibanjiri dengan karya-karya hebat sebagai tanda ilmu itu diwarisi.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/5/2020