Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 16)

PENGHAYATAN Ramadan melalui juzuk 16 pada hari ini lebih kepada meneliti berkaitan kisah kehidupan Nabi Allah Zakaria A.S yang antara lain diuji dengan kehidupannya bersama isteri tanpa memperolehi cahaya mata. Sudah sekian lama Baginda dan isterinya hidup dalam kesunyian akibat belum dikurniakan anak. Pada usia yang sudah tua sementara isterinya pula mandul, adalah mustahil untuk Baginda mendapatkan seorang anak. Allah S.W.T kemudiannya menganugerahkan rezeki cahaya mata setelah Nabi Zakaria terus berdoa kehadrat-Nya. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

یَـٰزَكَرِیَّاۤ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَـٰمٍ ٱسۡمُهُۥ یَحۡیَىٰ لَمۡ نَجۡعَل لَّهُۥ مِن قَبۡلُ سَمِیࣰّا. قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ یَكُونُ لِی غُلَـٰمࣱ وَكَانَتِ ٱمۡرَأَتِی عَاقِرࣰا وَقَدۡ بَلَغۡتُ مِنَ ٱلۡكِبَرِ عِتِیࣰّا

“Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu seorangpun yang senama dengannya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Tuhanku, bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang sudah tua?”

[Maryam: 7-8]

Tiada yang mustahil dalam ilmu Allah S.W.T, apabila Dia menghendaki terjadi sesuatu perkara, pasti terus terjadi. Jika Allah S.W.T memberi keizinan kepada Maryam untuk melahirkan seorang bayi tanpa melalui suami, maka adalah lebih mudah jika sudah ada pasangan suami dan isteri. Bahkan Allah S.W.T menegaskan dengan kekuasaan-Nya boleh mencipta apa sahaja termasuk daripada langsung tiada kepada adanya makhluk, firman Allah:

قَالَ كَذَ ٰ⁠لِكَ قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَیَّ هَیِّنࣱ وَقَدۡ خَلَقۡتُكَ مِن قَبۡلُ وَلَمۡ تَكُ شَيْئًا

“Penyeru itu menjawab: demikian keadaannya, janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; Hal itu mudah bagi-Ku kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sesuatu apapun.”

[Maryam: 9]

Allah S.W.T turut menyampaikan berita gembira kepada Nabi Zakaria A.S, bahawa anaknya kelak akan membenarkan kalimat Allah serta akan menjadi seorang Nabi daripada kalangan orang-orang yang soleh. Isteri Nabi Zakaria pun melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Yahya. Mengikut sesetengah riwayat, Nabi Yahya A.S lahir tiga bulan sebelum kelahiran Nabi Isa A.S.

Sesungguhnya setiap manusia yang hidup berkeluarga pasti mengharapkan kehadiran cahaya mata untuk menjadikan kehidupan lebih ceria dan bahagia. Namun, tidak semua pasangan suami isteri mempunyai anak, ada kalangan mereka yang diuji belasan bahkan puluhan tahun tetapi masih tidak mempunyai cahaya mata. Manusia hendaklah berusaha dengan memperbanyakkan doa kepada Allah dan merawati diri, setelah itu bertawakal kepada Allah S.W.T. Sudah pasti setiap ketentuan-Nya mempunyai hikmah tersendiri yang kadang-kadangnya tidak dapat difahami oleh sesiapa.

Apa yang pasti, Allah tidak akan menolak doa seseorang itu, ada yang disegerakan di atas dunia dan ada yang bertangguh untuk mendapat kurniaan yang lebih besar di akhirat. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah menguatkan kesabaran diri dan bersangka baik kepada Allah S.W.T kerana Allah pasti tidak mensia-siakan kehidupan hamba yang berserah diri kepada-Nya.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
16 Ramadan 1441 / 09 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 9/5/2020