Perlis benar solat Jumaat bersyarat

KANGAR: Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai langkah permulaan untuk membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan kembali.

Ini menjadikan negeri pertama membenarkan solat Jumaat diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Advertisement

Antara syarat ditetapkan jumlah jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang dari tiga orang.

Hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengumumkan perkara itu dalam kenyataannya semalam selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Menurut Yang Dipertua MAIPs yang juga Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, kebenaran itu belum dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya.

“Masjid masih belum boleh dibuka kepada orang ramai sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat ialah pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa masjid sahaja.

“Para jemaah juga perlu membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekod kehadiran di buku kedatangan.

“Mereka yang berumur 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir, selain mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit barah juga tidak dibenarkan,” titah baginda.

Baginda juga bertitah, mereka yang hadir ke masjid perlu memakai penutup hidung dan mulut dan juga melaksanakan penjarakan sosial sekurang-kurangnya pada jarak dua meter ketika solat.

Selain itu jemaah juga perlu berwuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri, selain solat diutamakan di tempat terbuka seperti di anjung masjid.

Baginda bertitah tempoh bermula azan hingga selesai solat Jumaat hanya 15 minit dan kontak fizikal seperti berjabat tangan tidak dibenarkan sama ada sebelum atau selepas solat dan semua jemaah perlu beredar dari masjid selepas selesai solat.

“Pengerusi masjid akan dipertanggungjawabkan bagi memastikan semua syarat dipatuhi dan kegagalan untuk mematuhi semua syarat-syarat akan menyebabkan masjid berkenaan tidak dibenarkan untuk mengadakan Solat Jumaat,” titah baginda.

MAIPs mengeluarkan peraturan itu setelah mengambil kira pandangan Jabatan Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muzakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Kementerian Kesihatan.- HARAKAHDAILY 9/5/2020