Juadah sahur PAS Bkt Mertajam buat ‘frontliners’

BUKIT MERTAJAM: PAS Kawasan Bukit Mertajam telah mengadakan program Singgah Sahur yang menjadi rutin tahunan pada setiap kali Ramadan di sekitar bandar ini, awal pagi tadi.

Advertisement

Program kali ini digerakkan Lajnah Dakwah dan Jabatan Amal serta Dewan Pemuda PAS Bukit Mertajam dengan mengadakan edaran juadah sahur terutama kepada para penjawat awam yang bertugas.

Dengan Ramadan kali ini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka menerusi program pihak PAS sekali gus dapat menyatakan sokongan kepada barisan hadapan negara.

Juadah telah diserahkan kepada mereka yang bertugas di Balai Polis Machang Bubuk dan Bukit Mertajam, Balai Bomba dan Hospital Bukit Mertajam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan Jabatan Pertahanan Awam.

Program yang dipimpin Ketua Pemuda PAS Bukit Mertajam, Mohd Anuar Abdul Rahman ini turut berkesempatan menyerahkan juadah sama kepada ‘frontliners’ di sekatan jalan raya sempadan Pulau Pinang-Kedah.

Beliau menyifatkan tugas mereka sebagai satu pengorbanan demi memelihara kepentingan rakyat daripada pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara pada ketika ini. – HARAKAHDAILY 10/5/2020