Pelaksanaan PKPB kurangkan penularan Covid-19

PUTRAJAYA: Kerajaan melihat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam mengurangkan penularan wabak berjangkit Covid-19 telah berjalan dengan lancar dan teratur bermula pada 4 Mei yang lalu.

Advertisement

Menerusi sidang media khas Perdana Menteri sebentar tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes baharu Covid-19 kekal rendah dan terkawal. Malah, kadar kesembuhan juga tinggi.

“Sehingga 9 Mei, seramai 4,929 individu atau 74.8 peratus pesakit telah kembali sembuh,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura, Malaysia berada di tangga ke empat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Dengan itu, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak Covid-19.

“Saya juga nak merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini.

“Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau,” jelas beliau.

Beliau mengulas lanjut, kawasan-kawasan tersebut tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 baharu dalam tempoh dua minggu lalu.

“Daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus dikategorikan sebagai hijau.

“Manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan hanya empat atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah.

“Yang empat dimaksudkan dengan status merah ialah kawasan yang mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19.

Tambah beliau, terdapat empat kawasan setakat ini yang masih berstatus merah iaitu Mukim Batu, Gombak, Selangor; Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur; Zon Kampung Baharu, Mukim Bandar, Kuala Lumpur dan Mukim Pedas, Daerah Rembau, Negeri Sembilan,” jelas beliau.

Beliau menasihati penduduk kawasan terbabit supaya lebih berhati-hati apabila keluar rumah.

“Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung. Sentiasa bersihkan tangan. Kalau boleh kurangkan aktiviti di luar rumah. Bagi penduduk di luar kawasan ini jangan berkunjung ke kawasan ini buat masa ini,” katanya.

Menurut beliau, itu adalah lebih baik supaya rakyat tidak terdedah kepada jangkitan wabak tersebut.

Bagi kawasan hijau pula, beliau turut mengingatkan penduduk kawasan itu supaya menjaga pergerakan bagi mengelak tempat mereka dijangkiti semula wabak itu.

“Jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas. Rakyat mungkin beranggapan yang tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau.

“Tetapi saya nak ingatkan selalu yang virus Covid-19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Jadi, berhati-hatilah,” ujarnya.

Beliau juga menekankan kepada rakyat tentang penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung, dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehingga berjaya menemui vaksin untuk membunuh virus itu.- HARAKAHDAILY 10/5/2020