Peristiwa Nuzul al-Quran dan PKPB

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Firman Allah SWT, dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

Advertisement

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah”.

PADA 17 Ramadan 1441 Hijrah bersamaan 10 Mei 2020 (Ahad) merupakan satu tarikh penting kepada umat Islam seluruhnya, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia mengenangkannya. Apakah tarikh besar itu?

Benar, 17 Ramadan itu adalah suatu peristiwa ‘Nuzul al-Quran’, di mana ianya suatu rakaman sejarah kehidupan junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW.

Ianya berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610 M, tahun ke-41 keputeraan baginda Nabi SAW, ketika sedang beribadat di Gua Hira’.

Namun terdapat pendapat lain mengenai tarikh sebenar Nuzul al-Quran iaitu pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadan bersamaan 13 Ogos 610 M.

Sesungguhnya, al-Quran itu suatu mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW bukan hanya kepada baginda tetapi untuk seluruh umat manusia sehingga hari kiamat.

Sebab, di dalamnya (al-Quran) terhimpun semua perkara termasuk tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan 1001 perkara lagi.

Oleh itu, al-Quran adalah al-hidayah, rahmat, as-syifa’ (penawar), nur (cahaya), al-furqan (yang dapat membezakan) antara haq dan batil, al-zikr dan pemberi penjelasan kepada manusia di dunia ini.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW, ayat al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah SWT melalui utusan malaikat Jibrail adalah lima ayat daripada surah al-‘Alaq dengan maksudnya;

“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan Nama Tuhan-mu, yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah Dengan Nama Tuhan-mu, Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”, (al-‘Alaq: 1-5).

Apa yang jelas, pengajaran isi al-Quran ini telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi sebagai panduan untuk kehidupan manusia seluruhnya.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua untuk membuktikan bahawa Islam bukan agama kekerasan, keganasan, atau kezaliman dalam memperkenalkan ajarannya.

Islam bukan tempat melahirkan golongan yang sempit pemikirannya dan berjuang secara ‘ekstrem’ tanpa menghormati hak-hak kemanusiaan.

Sebaliknya kita berpegang berasaskan kefahaman yang jelas berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang disepakati oleh ulamak Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Bersempena peristiwa Nuzul al-Quran pada Ramadan kali ini, sama-samalah kita merenung kembali, sejauh manakah al-Quran dapat kita hayati dan amalkan secara tuntas.

Ingatlah, asas kemuliaan umat Islam terdapat pada al-Quran sebagai sumber utama yang mampu mendatangkan kebaikan dalam kehidupan.

Mudah-mudahan kita mengambil peluang dalam bulan penuh barakah ini untuk meningkatkan mutu dan nilai ibadah seharian dengan al-Quran.

Maka, pada 10 Mei (Ahad) banyak negeri-negeri yang mengistiharkan hari Nuzul al-Quran itu sebagai cuti umum.

Antaranya, Perlis, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Wilayah Persekutuan- Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Fasa PKPB

PADA 1 Mei (Jumaat) lalu, dalam satu Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa lima akan dilaksanakan pada 4 Mei 2020 (Isnin), yang akan menyaksikan aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan semula dengan ‘bersyarat’.

Umumnya, rakyat diberitahu bahawa Malaysia mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh arahan PKP itu dilaksanakan sejak 18 Mac lalu. Jumlah terkumpul kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.

Maka, jika PKP ini diteruskan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita dijangka akan tanggung kerugian tambahan sebanyak RM35 bilion dan menjadikan jumlah keseluruhannya RM98 bilion atau mungkin RM100 bilion.

Sehubungan tu, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan ‘prosedur operasi standard’ (SOP) kesihatan yang ketat.

Kerajaan juga berani membuka kelonggaran itu setelah mendapat pandangan dan nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukannya secara ‘sembrono’ atau suka-suka.

Kira-kira satu juta perniagaan dijangka beroperasi semula di bawah pelaksanaan PKPB itu. Menurut sumber Perangkawan Malaysia, terdapat sebanyak 1,179,515 syarikat perniagaan yang aktif di negara ketika ini.

Manakala, jumlah perniagaan yang aktif dianggarkan 1.2 juta dan sekiranya 80 peratus peniaga kembali beroperasi, sudah tentu sejuta perniagaan akan mula aktif semula.

Apa yang penting sekurang-kurangnya, PKPB itu boleh membantu memulihkan semula ekonomi, psikologi dan emosi rakyat Malaysia. Walaupun hampir semua sektor ekonomi dibuka semula tetapi orang ramai perlu mematuhi syarat SOP yang ketat dan komprehensif sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.

Namun, setelah 50 hari PKP itu dilaksanakan dengan tuntas dari fasa pertama, kedua, ketiga, keempat dan kini kelima. Malaysia dikatakan telah berjaya memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sebelum PKPB dibuka kepada umum.

Meskipun fasa PKPB ini dijangka tamat pada 12 Mei ini, tetapi kepastian tidak dapat diramalkan dan bergantung kepada keputusan di peringkat KKM yang menjadi petugas di barisan hadapan.

Jika keadaan wabak Covid-19 ini masih ‘bertahan’ iaitu sekejap ada, sekejap tak ada, sekejap naik, sekejap turun. Makanya, sudah pasti tempoh PKP itu bakal dilanjutkan lagi.

Kita terpaksa mengharungi perjalanan hidup ini secara normal yang baharu. Jika sebelum ini dan tahun-tahun yang lepas, kita boleh bersolat terawih jemaah di masjid, surau bulan Ramadan tetapi sekarang belum dibolehkan lagi.

Bahkan, sambutan Hari Raya Aidil Fitri juga terpaksa kita mengikut normal yang baharu. Mungkin tidak dibenarkan lagi buat tahun ini kita hanya berhari raya di rumah masing-masing.

Tiada lagi ziarah kunjung-mengunjung dari satu daerah ke satu daerah. Apatah lagi untuk merentas negeri di bawah kawalan pihak berkuasa.

Akhir kata sebagai renungan dan peringatan kita bersama menghadapi pandemik coronavirus, sehingga kini 108 kes kematian di seluruh negara. Justeru, kepada mangsa di kalangan orang Islam yang terkorban itu kita doakan semoga mereka mendapat kebaikan di sisi Allah SWT. – HARAKAHDAILY 10/5/2020